Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perlis yakin SG4 boleh jadi kuasa ekonomi lepas Dr M jadi penasihat

Keempat-empat negeri yang ditadbir PAS ketika ini diyakini berpotensi menjadi kuasa ekonomi yang mampu mencabar pentadbiran kerajaan perpaduan selepas pelantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasminya dalam 'State-Goverment 4' (SG4).

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata sebagai bukti, negeri itu menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1.3 bilion minggu lalu, tambahan daripada pelaburan sedia ada berjumlah RM2.5 bilion.

"Dengan SG4, dinasihatkan (oleh) Dr Mahathir, kita akan dapat bangunkan empat negeri jadi kuasa ekonomi yang ditakuti kerajaan perdana menteri ke-10.

"Minggu lepas ada pelaburan baru RM1.3 bilion, tambah jadi banyak pelaburan di Perlis," katanya dalam Pidato Empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan PAS ke-69 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam, Selangor malam tadi.

Shukri berkata, dengan kemasukan pelaburan itu, Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan akan mampu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat pimpinan Anwar Ibrahim.

"Kita harap lepas ini tak bergantung dengan kerajaan pusat, kita berusaha ke arah itu untuk sejahterakan rakyat Perlis," katanya.

Mengulas lanjut, Shukri berkata apa yang diusahakannya itu juga telah dapat menutup mulut kepimpinan Umno-PH yang mempersoalkannya sebelum ini.

“Apabila kita jadi kerajaan, kita sambung segala projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini dan kita dapat selesaikan pelaburan lebih kurang RM2.5 bilion. Umno-PH marah, sebab dia kata sambung kerja kami.

“Saya kata kalau saya berhenti sekerat jalan, rugi segala kajian, segala projek yang dirancang dan selain kita tak membazir, kita teruskan projek sedia ada oleh kerajaan terdahulu yang tertangguh begitu lama, kita boleh selesaikan dan alhamdulillah tutup mulut umno-PH di Perlis,” katanya.

Tambah Shukri, Perlis juga memerlukan masa untuk mengikis imej pentadbiran BN memandangkan parti itu memerintah Perlis sejak Merdeka sehinggalah PN menawan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Nak kikis bayang itu payah, perlukan masa. Penggal pertama baiki, cuci, apa kerajaan lama buat. Saya di Perlis baru 11 bulan, perlukan masa panjang untuk memperelok pentadbiran," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS