Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Asean-GCC bertemu, PM gesa akhiri penindasan pada Palestin

Para pemimpin Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berhimpun buat julung kalinya di sidang kemuncak bersejarah kedua-dua blok di Riyadh, Arab Saudi hari ini, yang menyaksikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menggesa masyarakat antarabangsa agar menoktahkan layanan kejam serta sikap hipokrasi secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.

Anwar berkata masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh menutup mata terhadap kekejaman itu dan mesti mengambil tindakan untuk menangani punca konflik Palestin-Israel.

“Tanpa pengecualian, hak asasi manusia perlu dilindungi dan undang-undang antarabangsa harus ditegakkan. Rakyat Palestin berhak mendapatkan semula tanah, kediaman dan harta mereka.

“Mereka harus dibenarkan hidup secara aman serta bermaruah di negara berdaulat dengan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan perjanjian pra-1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka,” katanya dalam ucapan pada sidang kemuncak itu.

Anwar berkata dalam masa yang begitu mencabar ini dengan krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku serta boleh merebak menjadi konflik serantau dan dunia, Malaysia berharap semua negara akan bersama-sama berusaha mencari penyelesaian berkekalan serta adil berhubung konflik itu.

Perdana menteri berkata dia berharap anggota Majlis Keselamatan PBB terutama lima anggota tetapnya iaitu Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom akan memainkan peranan masing-masing sebagai broker keamanan yang jujur.

“Ini adalah masanya untuk dunia bersatu,” katanya lagi.

Anwar berkata Malaysia amat terkesan dan sedih dengan jumlah kematian orang awam yang begitu tinggi susulan peningkatan pertempuran di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitarnya.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan pengeboman Israel yang tidak berperikemanusiaan di Gaza serta sekatan terhadap barangan asas dan keperluan kepada mangsa yang memerlukan sehingga menyebabkan nyawa ramai rakyat Palestin dalam bahaya,” katanya.

Perdana menteri berkata justeru terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bagi menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS