Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis ulangi gesaan tangkap semula tertuduh kes bunuh Nhaveen

Pengerusi Liga Tindakan & Siasatan Nhaveen (NAIL) Arun Dorasamy sekali lagi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon waran tangkap terhadap lima tertuduh dalam kes pembunuhan T Nhaveen sementara menunggu rayuan kes tersebut.

Arun membuat permintaan itu dalam sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian hari ini, dengan menyebut isu keselamatan terhadap keluarga Nhaveen dan saksi T Previin, serta kebimbangan bahawa lima tertuduh tersebut melarikan diri.

"...Dalam pada itu yang penangkapan ini juga akan memberi sedikit sebanyak ketenangan kepada Madam Shanti dan juga T Previin akan keselamatan mereka dan juga ada sedikit harapan dalam proses pemohonan (rayuan).”

Dia mendakwa berdasarkan maklumat yang diperoleh, mereka bimbang tertuduh mungkin cuba melarikan diri dari negara ini melalui lorong tikus di sempadan negara. Mereka juga telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

Arun berkata dia juga sebelum ini meminta AGC untuk menyatakan sama ada mereka merayu pembebasan suspek yang sama atas pertuduhan secara sukarela menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya pada Previin, dan telah menerima jawapan positif mengenai perkara itu semalam.

‘Keluarga berhak dapat keadilan’

Minggu lalu, AGC mengesahkan jabatan itu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi George Town membebaskan dan melepaskan lima individu tersebut berhubung kematian Nhaveen, yang didakwa meninggal dunia akibat dibuli pada 2017.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid mengeluarkan perintah itu terhadap S Gopinaath, 32, J Ragesuthan, 24, dan S Gokulan, 24, serta dua lagi tertuduh, yang merupakan remaja ketika kejadian, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dia berkata mahkamah mendapati terdapat versi bercanggah dalam keterangan saksi berhubung beberapa kejadian dan juga kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi penting dalam kes itu iaitu rakan mangsa dikenali sebagai Preevin.

Lima rakan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara 11 malam dan tengah malam pada 9 Jun 2017.

Mengulas lanjut, Arun menegaskan NAIL tidak berniat untuk mengganggu proses undang-undang, perbicaraan atau rayuan, dengan sentiasa bertanyakan perkembangan mengenai kes itu.

Menurutnya, ibu Nhaveen Shanti dan Previin berhak mendapat keadilan dalam kes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS