Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir hadir kali pertama muktamar PAS, disambut takbir
Diterbitkan:  Oct 20, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 7:49 AM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hadir di Muktamar PAS ke-69 yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.

Ketibaan Dr Mahathir yang sebelum ini adalah presiden Umno dan dianggap seteru ketat PAS disambut laungan takbir oleh perwakilan.

Kehadiran kali pertamanya ke muktamar PAS itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Dia hadir sebagai tetamu pada majlis perasmian muktamar oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Hadir sama, adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin yang pernah memecat Mahathir daripada parti itu.

Mereka kemudiannya ditempatkan di pentas muktamar bersama pemimpin PAS lain.

Sebelum ini, Mahathir hanya tampil di pentas PAS ketika ceramah parti itu semasa  kempen pilihan raya negeri Ogos lalu.

Pada Disember 2016, Dr Mahathir juga membuat kejutan apabila hadir pada Konvensyen Kebangsaan DAP ke-50.

Malah, dia duduk di atas pentas bersama-sama pemimpin-pemimpin kanan parti itu, antaranya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan pengasas serta penasihat DAP, Dr Chen Man Hin.

Pada muktamar kali ini, Mahathir yang berpakaian serba hitam serta bersongkok.

Sementara itu, Hadi semasa ucapan dasarnya turut memberi penghormatan kepada Mahathir yang juga penasihat kepada empat negeri yang ditadbir oleh PN (SG4).

“Mahathir sebagai penasihat kehormat SG4 ini, di samping menjadi jambatan dan pintu gerbang kepada pelabur dalam dan luar negara, ditambah dengan panduan dan bimbingan berterusan oleh Muhyiddin (Yassin) sebagai pengerusi PN, kedua-duanya adalah mantan perdana menteri yang mempunyai pengalaman dan jaringan berharga,” katanya.

Mahathir dispekulasikan mahu membuat penampilan kembali ke Dewan Rakyat melalui pilihan raya kecil Kemaman, kubu buat PAS.

Bagaimanapun PAS setakat ini masih berteka-teki berkaitan kemungkinan itu.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Hadi berkata “tidak munasabah” untuk meletakkan Mahathir di Kemaman.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa pemilihan calon bagi kerusi terbabit masih dalam proses perbincangan.

‘Manusia berubah, politik berubah’

Sementara itu, Hadi juga ditanya pemberita sama ada anggota PAS bersedia melupakan sejarah silam dengan Mahathir.

"Kita melihat bahawa manusia berubah,  politik juga berubah,” katanya.

“Kita diajar dalam Islam, jangan berkasih kepada orang dengan melampau dan jangan benci pada orang juga melampau, mungkin orang yang kita benci itu, satu hari dia tolong kita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS