Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil Hamas: Saya tak berniat perkecil usaha Anwar, kerajaan
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 7:05 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dialog Timur Tengah Asia (Amec) Muslim Imran tampil memberi penjelasan berhubung salah faham susulan wawancaranya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Muslim yang juga ahli Biro Antarabangsa Hamas di Asia berkata kenyataannya diambil di luar konteks dan dipolitikkan sehingga menimbulkan salah faham.

Menurutnya, kenyataannya berkenaan jangkaan terhadap kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah sebagai jawapan kepada soalan sama ada dia berpuas hati dengan tindak balas Malaysia berkenaan konflik di Gaza atau tidak.

"Saya hanya menyatakan jangkaan saya terhadap Malaysia dan kerajaan serta pemimpinnya. Saya tidak pernah bermaksud untuk memperkecilkan usaha Anwar atau kerajaannya.

"Saya kenal Anwar sejak bertahun-tahun lalu dan saya tahu dia komited dengan perjuangan Palestin, sepanjang perjalanannya sejak muda bersama Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) sehingga menjadi perdana menteri.

"Saya percaya dia terus menyokong Palestin. Usahanya dalam beberapa jam lalu amat penting dalam menolak naratif barat dan tekanan barat terhadap masyarakat antarabangsa. Dia bercakap dengan kepimpinan Hamas dan menyatakan solidaritinya dengan perjuangan Palestin," katanya dalam video yang dimuat naik di Twitter.

Terdahulu, ketika diminta mengulas berkenaan komitmen Malaysia terhadap Palestin di podcast Keluar Sekejap, Muslim berkata Malaysia sememangnya konsisten menyokong Palestin sejak 1960-an tetapi yakin lebih banyak yang boleh dilakukan negara ini.

Dia juga mengimbas kembali pertemuannya dengan Anwar pada 2021, di mana presiden PKR itu membayangkan banyak yang boleh dilakukannya dalam isu Palestin jika menjadi perdana menteri.

"Saya jumpa Anwar pada majlis buka puasa Ramadan lalu dan beritahu 'anda kini perdana menteri dan kami ada harapan yang tinggi. Dia kata 'insya-Allah kami akan buat sesuatu'.

"Tetapi kerajaan sibuk dengan politik domestik dan hal lain selama kira-kira setahun. Sehingga sekarang, seminggu selepas serangan Israel, respons (yang diberikan) bukanlah apa yang Malaysia mampu lakukan," katanya.

Muslim turut membangkitkan tindakan perdana menteri terdahulu, seperti Najib Razak yang berkunjung ke Gaza pada 2013 dan Dr Mahathir Mohamad yang "dengan jelas mengecam Israel dan mendesak Donald Trump untuk letak jawatan (sebagai presiden AS) pada 2020".

Muhyiddin Yassin pula menelefon Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh ketika konflik di Gaza sebelum ini, katanya lagi.

"Saya mengharapkan Anwar sekurang-kurangnya menelefon Ismail Haniyeh, mungkin (presiden Palestin) Mahmoud Abbas. Mungkin menteri luar (Zambry Abd Kadir) perlu pergi ke Timur Tengah.

"Saya tiada hak untuk beritahu pemimpin apa yang perlu dibuat. Akhirnya, mereka ada perkiraan politik mereka sendiri. Tetapi saya ada harapan selaku rakan Malaysia kerana saya tahu orang Malaysia menyokong kebebasan kami," katanya lagi.

Menyatakan bahawa Malaysia antara negara yang lebih dipercayai di Timur Tengah, Muslim menjelaskan dia bukannya meminta bantuan ketenteraan.

"Saya tak mahu anda hantar tentera anda untuk berjuang di Palestin. Orang Palestin tidak meminta sesiapa yang berbuat demikian.

"Tetapi (presiden Amerika Syarikat) Joe Biden telah hubungi (perdana menteri Israel) Benjamin Netanyahu selama lima kali sejak serangan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS