Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penolong pegawai perubatan didakwa terima rasuah kes pengurusan jenazah

Seorang penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan menerima suapan berkaitan kes pengurusan jenazah.

Tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 57, yang bertugas di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh berdepan 12 pertuduhan membabitkan jumlah suapan RM3,350.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 April 2021 hingga 3 Mac 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.

Tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima antara RM100 hingga RM500 sepanjang tempoh berkenaan.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan RM10,000 sebagai ikat jamin, namun peguam mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

Ini kerana tertuduh menanggung isteri yang merupakan suri rumah dan lima anak, termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada Februari lalu, tertuduh direman tujuh hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes pengurusan jenazah di hospital Temerloh.

Dia yang bertugas di Unit Perubatan Forensik dikatakan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan untuk mendapatkan kerja pengurusan jenazah di hospital terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS