Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak berpuas hati dengan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Hamas dan rakyat Palestin di tengah-tengah konflik yang berterusan di Asia Barat.
Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu berkata dia menjelaskan kepada Washington bahawa Putrajaya tidak akan berganjak atau tunduk kepada tekanan atau bersimpati dengan Israel.
"Mana mungkin Malaysia akan memberikan simpati kepada pihak yang bertindak tanpa perikemanusiaan seperti rejim Israel," katanya.
Nazri berkata, negara-negara kuasa besar tidak pernah menyatakan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak dan warga tua Palestin yang puluhan tahun menderita akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.
Mengenai Hamas, duta itu berkata dia memberitahu Washington bahawa sokongan Malaysia terhadap Hamas tidak sewajarnya dipertikaikan kerana parti tersebut merupakan pilihan rakyat Palestin di Gaza.
"Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersama dengan rakyat Palestin dalam usaha mereka menuntut hak yang telah dirampas Israel.
"Malaysia juga tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikan kepada Hamas dan Palestin," katanya yang dipetik oleh Astro Awani.
Di Malaysia, bekas menteri itu berkata, hanya mereka yang mengalami masaah mental sahaja yang akan menyokong apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
"Israel tidak perlu play victim dalam perkara ini kerana tindakan mereka selama ini jauh lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Nazri turut mengkritik Jabatan Negara AS kerana memberi pelbagai alasan apabila Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir cuba menghubungi setiausaha negara tersebut, Anthony J Blinken.
"Alasan-alasan yang diberikan oleh Washington kepada Wisma Putra adalah sangat lemah.
"Mereka seperti mahu memperkecilkan Malaysia dengan hanya mahu timbalan Blinken berurusan dengan Zambry," katanya lagi.
Mengulangi gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Nazri menyeru Israel untuk menamatkan serangannya ke atas Gaza dan membuka laluan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.