Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara 1MDB: Pegawai penyiasat SPRM mungkin saksi terakhir - DPP

Pegawai penyiasat (IO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Superitendan Kanan Nur Aida Arifin merupakan saksi terakhir yang akan dipanggil dalam kes penyelewengan dana 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah bahawa Nur Aida adalah pegawai penyiasat dalam kes salah guna kuasa terhadap Najib.

"Dia (bakal) saksi terakhir kami," kata Akram kepada Sequerah.

Terdahulu, pegawai penyiasat Bukit Aman, Foo Wei Min memberi keterangan berhubung dokumen bank yang menunjukkan dakwaan aliran dana daripada 1MDB ke akaun peribadi Najib.

Hakim kemudian menyoal pihak pendakwaan mengenai bilangan saksi selebihnya yang akan dipanggil pihak pendakwaan.

Akram memberitahu Sequerah bahawa pihak pendakwa belum boleh memanggil Nur Aida kerana pasukan peguam Najib masih belum menyelesaikan pemeriksaan balas mereka terhadap beberapa saksi pendakwaan seperti bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan penganalisis BNM, Adam Ariff Mohd Roslan.

Apabila Sequerah bertanya sama ada pihak pendakwaan boleh menutup kes selepas Nur Aida dipanggil, timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar tidak menolak kemungkinan itu sehingga perkara lain ditimbulkan.

Bagaimanapun, Kamal tidak menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkannya.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula pada Selasa minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS