Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papan iklan Jawi di Perlis boleh jadi wajib - Adun PH

Adun tunggal pembangkang Perlis tidak menolak tanggapan bahawa polisi papan tanda Jawi untuk perniagaan di negeri itu boleh menjadi wajib.

Walaupun Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli telah menjelaskan sebaliknya namun Gan Ay Ling mendakwa kenyataan bahawa perniagaan yang gagal berbuat demikian akan dianggap sebagai "tidak mesra" menandakan ia boleh dikuatkuasakan pada masa hadapan.

Adun Indera Kayangan itu berkata pihak berkuasa tempatan juga boleh membuat keputusan sepihak mengenai perkara itu.

“Kami pernah ada pengalaman sebegitu sebelum ini,” katanya kepada Malaysiakini, merujuk kepada keputusan pihak berkuasa tempatan untuk tidak memperbaharui lesen pusat perjudian tanpa perlu berbincang dengan exco kerajaan negeri terlebih dahulu.

"Jadi, berdasarkan cara dia (Shukri) bercakap, ia mungkin tidak wajib sekarang, tetapi kami rasa ia macam tidak lama lagi," kata wakil rakyat PKR itu.

Tambahan pula, Gan percaya kerajaan negeri sedang dalam proses melaksanakan dasar itu untuk semua perniagaan.

"Jika mereka tak ada niat itu, mereka tidak akan membawa perkara ini secara tiba-tiba," tambahnya.

Gan berkata memandangkan cabaran ekonomi semasa, kerajaan negeri tidak seharusnya membebankan lagi perniagaan.

Dia menggesa kerajaan negeri PAS supaya mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menangani isu-isu mendesak lain sebelum memberi tumpuan kepada papan tanda perniagaan.

Gan berkata dia bercadang untuk membangkitkan isu itu dalam sidang DUN akan datang dari 12 hingga 14 Dis.

Pada 16 Okt, Shukri berkata tiada peraturan untuk memaksa perniagaan berbuat demikian, tetapi pentadbirannya menggalakkan mereka untuk memasukkan Jawi ke dalam papan tanda mereka.

Saya menganggap jika ada premis yang masih tidak menggunakan tulisan Jawi sebagai tidak mesra kerajaan negeri,” katanya.

Shukri juga menasihatkan pemilik premis yang mendapati bendera atau gambar Raja Perlis yang dipamerkan sudah lusuh untuk menukarnya kepada yang baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS