Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebihan pekerja asing: Menteri akui salah guna permit berlaku

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata majikan dalam sektor perkhidmatan didapati mencatatkan paling banyak pelanggaran terhadap peraturan pengambilan pekerja asing.

Ia termasuk pekerja yang didapati bekerja di luar sektor perkhidmatan melibatkan pekerjaan dalam lebih 10 subsektor lain, yang merupakan satu penyalahgunaan pas pekerja yang dikeluarkan terhadap mereka.

"Pastinya ada unsur salah guna pas.

"Tapi saya nak sebut bahawa (ada) elemen penguatkuasaan oleh agensi kawal selia - Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia," katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya berkenaan lebihan kira-kira 120,000 pekerja asing dalam sektor perkhidmatan - iaitu 142,204 pemegang pas setakat bulan ini, berbanding anggaran awal keperluan industri itu iaitu 20,000 pekerja.

"Untuk saya mengatakan (salah guna pas pekerja) tidak berlaku adalah tidak munasabah. Ia berlaku.

"Tetapi adakah pada tahap sehingga mereka melanggar, tak patuh langsung (undang-undang)? Tidak," katanya.

Dia berkata tindakan dikenakan kepada majikan yang didapati melanggar undang-undang berkenaan perkara itu.

"Ia termasuk dalam aspek penaziran (pemeriksaan) dan pelanggaran terhadap kepatuhan. (Apabila dibandingkan antara) majikan dalam lima sektor, (pelanggaran) paling banyak berlaku dalam sektor perkhidmatan," katanya lagi.

Empat lagi sektor yang termasuk dalam pemeriksaan adalah pembinaan, perladangan, pertanian dan pembuatan.

Antara unsur pelanggaran lain yang turut berlaku melibatkan soal gaji, jam bekerja dan tempat tinggal pekerja.

Saifuddin dan Sivakumar sebelum itu mempengerusikan meyuarat kesembilan Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri & Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dibuat di World Trade Centre, Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS