PARLIMEN l Dewan Rakyat kecoh seketika hari ini susulan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan - Kota Melaka) mencelah perbahasan Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional - Pagoh) dengan membangkit kes menantunya Muhammad Adlan Berhan yang kini menjadi buruhan SPRM.
Ketika itu Muhyiddin membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 dan sedang membangkitkan isu kenaikan harga beras.
Khoo kemudiannya mencelah dan menyoal presiden Bersatu itu berhubung keputusan kerajaan membenarkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031 ketika dia menjadi perdana menteri.
Ahli parlimen DAP itu turut membangkitkan kes menantu Muhyiddin yang masih di luar negara walaupun telah diletakkan dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dikehendaki SPRM.
Tidak puas hati dengan Khoo, Muhyiddin meminta timbalan speaker Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yieng mengarahkan Khoo menarik balik kenyataan tersebut.
"Tuan speaker, perkara yang dibangkitkan oleh Kota Melaka (Khoo) tentang menantu saya dibuat dengan niat jahat. Saya minta dia tarik balik.
"Pasal perkara ini yang kita bahasa bukan soal itu," katanya.
Shahidan Kassim (PN-Arau) kemudian bangun dan menjerit “ini bangsat punya orang” dan melabelkan Khoo sebagai “biadab”.
Suasana terus hangat dengan Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) meminta supaya Shahidan diarahkan menarik balik cercaannya terhadap Khoo.
"Saya menggunakan peraturan dewan 36 (4), bahasa kurang sopan dan biadab, saya minta Arau (Shahidan) tarik perkataan bangsat yang dihalakan terhadap Kota Melaka,” katanya.
Namun, Shahidan tetap mempertahankan bahawa dia tidak menujukan perkataan itu kepada sesiapa.
"Saya tidak rujukan kepada sesiapa. Saya hanya lepas geram terhadap Kota Melaka," kata Shahidan.
Lau kemudian mengarahkan Khoo supaya menarik balik perkataan yang dilemparkan terhadap Muhyiddin.
"Saya minta Kota Melaka tarik balik kerana keluar tajuk.
"Saya meminta Kota Melaka tarik balik kenyataan menantu Pagoh, Itu tidak kena mengena dengan mesyuarat hari ini," katanya.
Bagaimanapun, Khoo enggan berbuat demikian, sebaliknya cuba memberikan penjelasan.
Sidang Dewan Rakyat terus menjadi kecoh, selepas beberapa ahli parlimen PN meminta timbalan speaker mengarahkan Khoo menarik balik.
Ini dihangatkan lagi apabila Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) menasihatkan Khoo supaya “jangan ikut perangai Zionis”. Kedua-dua pihak mula bertikam lidah semula.
Walaupun, berkali-kali meminta Khoo menarik balik, wakil rakyat DAP itu enggan berbuat demikian sehingga memaksa Lau mengarahkannya supaya meninggalkan dewan dan hanya dibenarkan masuk semula selepas waktu rehat.
Awang Hashim kemudiannya menarik balik perkataan Zionis. Sesi dimulakan semula dengan Muhyiddin dibenarkan membuat ucapan penggulungan.