Laman web Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerbitkan laporan forensik mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Dis tahun lalu.
Laporan itu mengesahkan pendedahan timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa kejadian yang berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm itu disebabkan kegagalan cerun berikutan hujan lebat berterusan, dan bukan kerana faktor manusia.
"Kejadian tanah runtuh pada asasnya disebabkan oleh kegagalan semula jadi, yang berpotensi dipengaruhi oleh faktor hujan dan geologi.
“Tanah runtuh pertama berlaku kira-kira jam 2 pagi dengan dimensi kegagalan cerun sepanjang 120m dan kedalaman maksimum 14m. Disebabkan keadaan tanah, runtuhan tersebut sampai ke tapak perkhemahan Riverside yang terletak kira-kira 550m jauhnya.
"Seterusnya, jisim tanah runtuh terkumpul di tapak kaki bukit, membentuk kawasan empang sementara," menurut ringkasan eksekutif laporan itu.
Sebuah jawatankuasa khas dikenali sebagai Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 31 daripada 92 mangsa itu.
Ahli jawatankuasanya terdiri daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran serta badan profesional.
Laporan itu juga menyatakan bahawa runtuhan tersebut melibatkan 283,000 meter padu tanah.
"Dua faktor penting yang menyumbang kepada kejadian tersebut ialah hujan dan hidrogeologi, yang berkaitan dengan perubahan air bawah tanah.
"Tiada bukti kukuh bahawa aktiviti antropogenik menjadi faktor penyumbang kepada kejadian di darat ini. Kerja-kerja penyelenggaraan cerun dan jalan telah dijalankan mengikut penyelenggaraan berjadual di tapak kejadian," tambahnya.
Antropogenik merujuk kepada perubahan persekitaran yang disebabkan atau dipengaruhi oleh manusia, sama ada secara langsung atau tidak langsung.