Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden pengeboman sebuah hospital di Semenanjung Gaza sebagai perbuatan gila dan tidak berperikemanusiaan.
Anwar turut mengulang semula kritikannya terhadap negara Barat kerana menutup mulut terhadap kekejaman itu yang meragut nyawa ratusan orang Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
"Apa pun dan siapa pun yang dituduh (tiada maknanya), ini kesan serangan dan perang. Sebab itu kita kata sebaiknya mereka (Israel) hentikan.
"Ini masa untuk redakan keadaan. Kalau diteruskan, mangsanya adalah wanita, kanak-kanak dan pesakit.
"Ini sudah tahap gila, (mereka sudah) hilang kemanusiaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu simposium di Putrajaya hari ini.
Dianggarkan lebih 500 terbunuh dalam insiden di utara Gaza semalam.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza mendakwa insiden itu ekoran serangan udara Israel.
Bagaimanapun tentera Israel mendakwa letupan di Hospital Arab al-Ahli itu berpunca daripada kegagalan pelancaran roket oleh kumpulan Jihad Islam Palestin.
"Apa yang paling dikesalkan adalah negara Barat (yang membisu). Mereka sentiasa bercakap soal hak kemanusiaan.
"Rupa-rupanya (kemanusiaan mereka) ada kategori, ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba.
"Ini kita bantah sekeras-kerasnya," kata Anwar.
Sementara itu, Anwar turut ditanya berkenaan status penyertaan Malaysia dalam misi pengaman PBB di Lubnan dan jika Malaysia memutuskan untuk membawa pulang askar negara, susulan pertempuran antara pihak di negara itu dengan Israel.
Anwar berkata sebarang keputusan untuk mengekalkan atau menarik balik pasukan akan dibuat secara bersama dengan PBB.
"Kalau keadaan keselamatan dapat dijamin, kita teruskan. Kalau tidak, kita akan bawa pulang," katanya.
Menurut kenyataan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil), berlaku pertempuran hebat di beberapa kawasan antara wilayah Lubnan dan Israel pada 15 Oktober lalu.
Pertempuran itu turut menyebabkan ibu pejabat Unifil di Naqoura diserang roket namun tiadak nyawa terkorban, kata Unifil.
"Kami dalam usaha mengesahkan dari mana (roket dilancarkan). Pasukan pengaman tiada di tempat perlindungan pada masa itu. Mujurlah tiada sesiapa yang cedera," katanya.