Paling Popular
Terkini

Akibat tidak memiliki kad pengenalan, Aziq Fadyan, 24, dan adikya, Azreen Batrisya, 22, dikatakan dihalang untuk hadir ke sekolah.

Dia dan dua lagi adiknya, Azzahra Batrisya, 12 dan Azalea Batrisya, 9, merupakan individu tanpa kerakyatan, terpaksa akur dengan permintaan pihak sekolah yang tidak membenarkan mereka meneruskan pelajaran kerana masalah dokumentasi.

"Waktu di tingkatan lima, saya sempat bersekolah sehingga pertengahan tahun, selepas itu, pihak sekolah beritahu saya jangan sekolah dulu sehingga masalah dokumentasi selesai.

"Adik (Azreen) pula dapat bersekolah sehingga tingkatan 4, ketika mendaftar ke tingkatan 5, Cikgu beritahu, pelajar yang ada masalah dokumentasi, jangan datang sekolah dulu.

"Saya beritahu adik, tak payah sekolahlah.. sebab kita tiada IC (kad pengenalan)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lawyers for Liberty (LFL), Petaling Jaya, pagi tadi.

Akibat dari hal tersebut, Aziq dan Azreen tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya, manakala Azzahra dan Azalea pula tidak bersekolah sehingga kini.

Dia yang baru kehilangan ayahnya tahun lalu turut menyimpan impian melanjutkan pelajaran dan bercita-cita menjadi seorang pengaturcara komputer.

"Saya lihat ada individu lain yang mempunyai masalah sama (tidak memiliki kad pengenalan), tapi mereka boleh ambil peperiksaan SPM, STPM cuma saya dan adik tidak dibenarkan pula.

"Sejak kecil, mak menasihati kami supaya rajin belajar, ketika itu, saya tetap teruskan pelajaran di rumah dengan harapan dapat kembali bersekolah tetapi hampa," katanya yang menyasarkan 9A untuk peperiksaan SPM.

Aziq kini bekerja sendiri membaiki telefon manakala adiknya, Azreen bekerja sebagai pelayan kedai makan manakala ibunya menjalankan perniagaan menjual kek dalam talian.

"Saya berharap agar adik-adik saya dapat bersekolah semula, sekurang-kurangnya, jika saya tak dapat, biarlah mereka dapat (meneruskan persekolahan) dan tidak jadi seperti saya, sekarang mereka masih kecil, saya tidak mahu mereka lalui apa yang saya lalui bila besar nanti," katanya lagi.

Sementara itu, Azreen mengimbas semula dan berkongsi bahawa setelah tidak dibenar ke sekolah, dia tidak keluar bilik hampir sebulan.

"Saya sedih bila melihat kawan-kawan dapat ke sekolah, saya tidak keluar dari bilik hampir sebulan, selepas mak memujuk, barulah perasaan itu hilang.

"Pernah ada ahli politik yang menawarkan bantuan dan berjanji membantu kami tapi sehingga kini tiada berita," katanya.

Pada sidang media berkenaan, Penasihat LFL, N Surendran, menuntut kerajaan mengiktiraf status kewarganegaraan empat beradik tersebut setelah permohonan mereka ditolak berkali-kali sejak lahir walaupun bapa mereka adalah warga negara Malaysia.

Perkahwinan ibu bapa mereka dikatakan berlangsung di Indonesia dan Malaysia pada 1998 dan kesemua mereka dilahirkan serta dibesarkan di Malaysia.

Surendran berkata permohonan mereka mendapatkan status warganegara dari JPN ditolak atas alasan “tidak munasabah”, tanpa memberikan perincian lanjut.

Surendran juga menunjukkan surat pernikahan Indonesia dan gambar perkahwinan ibu bapa empat beradik itu di Malaysia.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai status pendaftaran perkahwinan ibu bapanya di Malaysia, Aziq berkata dia tidak pasti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS