Seorang ahli perniagaan meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke supaya campur tangan dalam pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang didakwanya sebagai 'lembap'.
Pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyendran, 48, berkata dia berasa tidak puas hati dengan pengurusan LPK, badan pentadbiran Pelabuhan Klang, khususnya ketika berurusan dengan pelanggan.
"Saya meminta menteri segera campur tangan dalam pengurusan LPK sebab mereka sangat lembap dan tidak mesra pelanggan khususnya ketika berkomunikasi.
"Jika, perangai mereka berterusan, maka ramai pelanggan luar negara yang kini berurusan dengan Pelabuhan Klang akan lari yang akan merugikan pendapatan negara," katanya kepada Malaysiakini.
Menjelaskan lagi, Jeyendran yang menceburi bidang perkapalan lebih 20 tahun berkata salah satu perkara utama perlu diberi perhatian adalah isu komunikasi antara LPK dan pelanggan.
"Kami sebagai pelanggan kebanyakan masa menghubungi LPK melalui e-mel. Itu cara yang terbaik untuk berkomunikasi dalam sesebuah perniagaan.
Baca: SURAT | Jawapan Lembaga Pelabuhan Kelang terhadap dakwaan 'lembap'
"Tapi, berkomunikasi dengan LPK satu cabaran besar kepada kami. Kadang-kadang mereka mengambil masa empat hingga lima hari ini membalas e-mel yang penting yang perlu dibalas dengan segera," katanya.
Katanya, baru-baru ini dia menghantar satu e-mel berhubung kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat di Pelabuhan Klang.
"Kerja-kerja penyelenggaraan ini menyebabkan kawasan kapal berlabuh menjadi cetek tidak selamat untuk kapal berlabuh. Jadi, beberapa pelanggan termasuk saya meminta LPK mengeluarkan jadual selama tiga bulan waktu terbaik untuk berlabuh.
"E-mel dihantar Jumaat lepas dan sehingga hari ini tidak ada maklum balas. Sedangkan beberapa kapal dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang.
"Ini cuma salah satu contoh. Ada beberapa perkara lain yang perlu diperbaiki dengan segera.
"Sebagai badan yang mengurus salah satu pintu masuk negara, LPK perlu lebih profesional ketika berkomunikasi dengan pelanggannya" katanya.
Malaysiakini telah menghubungi LPK dan masih belum menerima sebarang maklum balas.