Lawyers for Liberty (LFL) menuntut kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada empat beradik yang menjalani hidup sebagai individu tanpa kerakyatan sejak dilahirkan di negara ini.
Penasihat LFL, N Surendran, berkata, empat beradik itu, Aziq Fadyan, 24, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12 dan Azalea Batrisya, 9 telah dinafikan hak mendapat kerakyatan walaupun ayah mereka, Fadil Saharudin merupakan warganegara Malaysia.
"Perkahwinan ibu bapa mereka telah dilangsungkan di Indonesia dan Malaysia pada 1998 sebelum kelahiran empat anak mereka.
"(Mereka) Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia oleh bapa dengan kewarganegaraan Malaysia, bukan warganegara mana-mana negara lain kecuali Malaysia.
“Justeru mereka berhak mendapat kerakyatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat LFL di Petaling Jaya, pagi tadi.
Pada sidang media berkenaan, Surendran berkata permohonan untuk mendapatkan status warganegara dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditolak atas alasan tidak munasabah.
Dia juga tidak mendedahkan alasan yang diberikan JPN.
Sementara itu Surendran juga menunjukkan surat pernikahan ibu bapa empat beradik itu di Indonesia dan gambar perkahwinan mereka di Malaysia.
Bagaimanapun, ketika ditanya wartawan, Aziq yang merupakan anak sulung pasangan itu berkata dia tidak tahu mengenai status perkahwinan ibu bapanya di Malaysia.
Tiada aksek pendidikan, kesihatan
Surendran berkata disebabkan tiada kewarganegaraan, kesemua empat beradik itu menghadapi kesukaran untuk mendapat akses pendidikan, pekerjaan dan kesihatan.
"Mereka tidak dapat melakukan perkara-perkara asas seperti membuka akaun bank, mendapatkan lesen memandu mahupun mendapat pekerjaan yang sesuai dengan gaji berpatutan," katanya.
Memetik Artikel 14 (1)(b) dan Bahagian II Jadual Kedua Seksyen 1(a) dan 1(e) Perlembagaan Persekutuan, Surendran berkata kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap diskriminasi yang dilakukan terhadap individu tanpa kerakyatan.
"Kerajaan secara tidak munasabah dan dengan zalimnya telah menyebabkan individu tanpa kerakyatan mengharungi kehidupan yang teruk,” jelasnya.
Justeru katanya LFL menuntut kerajaan segera meneliti isu itu memandangkan terdapat puluhan ribu kes serupa di Malaysia membabitkan kanak-kanak tanpa kerakyatan.
"Kami menggesa Menteri Dalam Negeri mengiktiraf mereka sebagai warga negara serta-merta dan Menteri Pendidikan memastikan Azzahra dan Azalea yang berumur 12 dan 9 tahun dimasukkan ke sekolah dengan segera.
"Kerajaan perlu meneliti kes-kes ini dan memberi kewarganegaraan kepada sesiapa yang layak termasuk yang telah dilucutkan kewarganegaraan secara tidak sah dan menyalahi undang-undang," katanya.