MyCARE yang sedang meneliti dan mengikuti perkembangan mengenai pembukaan lintasan sempadan Rafah di Mesir secara dekat, bersedia menghantar pasukan perubatan ke Semenanjung Gaza, sekiranya laluan itu dibuka.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata ini adalah selari dengan permintaan Dr Ashraf Alqudra, jurucakap Menteri Kesihatan di Gaza, baru-baru ini.
"Beliau memohon penghantaran pakar perubatan untuk merawat dan menjalankan pembedahan ke atas mangsa serangan rejim Zionis di Gaza selain keperluan penghantaran bekalan perubatan.
"Walau bagaimanapun kerjasama daripada pihak kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan juga akan memudahkan urusan tersebut
"Sekarang memang belum dibuka, cuma kita menyeru agar segera dibuka dan kami menunggu jika sudah dibuka, akan cuba menyertai misi bantuan termasuk bantuan perubatan yang kritikal," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi, di Johor Bahru, hari ini.
Tambah Mohd Zin, laluan Rafah adalah satu-satunya jalan untuk pergerakan majoriti rakyat Palestin di Gaza bagi urusan sama ada untuk keluar negara, mendapatkan rawatan, keluar negara untuk menyambung pelajaran atau lain-lain keperluan.
Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar bantuan khususnya dari Malaysia, akan hanya melalui sempadan dan pintu Rafah untuk memasuki Gaza, tambahnya.
"Dengan konflik dan serangan di luar peri kemanusiaan oleh tentera rejim Zionis ke atas penduduk Gaza, kita memang mengharapkan pintu sempadan Rafah dapat dibuka sepanjang masa oleh pihak Mesir.
"Ia adalah sempadan yang sah bagi dua negara iaitu Palestin dan Mesir dan tidak sewajarnya ada negara-negara lain yang cuba campur tangan untuk menentukan agar pintu Rafah dibuka atau tidak," kata Mohd Zin.
Beliau menambah krisis bekalan yang berlaku di Gaza dijangka akan bertambah teruk terutama dengan musim sejuk yang bakal menjelang kelak.
"Keperluan di Gaza dijangka berlipat ganda berbanding serangan Zionis pada Ramadan 2021. Sehingga kini lebih 70,000 unit rumah dimusnahkan dengan serangan dan hampir 500,000 kehilangan tempat tinggal.
"Jadi keperluan sangat mendesak boleh dikatakan meliputi bekalan air bersih, makanan, perubatan dan keperluan bermalam termasuk selimut," tambah penerima Anugerah Maulidur Rasul itu, baru-baru ini.
Masuk hari ke-11 pertempuran terkini di Palestin melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel, menyaksikan angka kematian mencecah 2,808 orang manakala lebih 10,000 orang cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin setakat malam tadi.
- Bernama