PARLIMEN | Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, mencadangkan supaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya dalam keputusan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ini berikutan dakwaan pemimpin PN bahawa Iskandar telah diugut oleh SPRM untuk menyatakan sokongan kepada perdana menteri.
"Saya mendengar rungutan atau aduan berkenaan wujudnya ugutan (dibuat SPRM), soalan yang berbangkit sekarang, mengapa kita sebagai ahli parlimen tidak mengambil tindakan?
"Bukankah kita berkuasa memanggil ahli parlimen tersebut tampil ke hadapan, beri maklumat tentang apa yang terjadi, kemudian kalau ada pihak yang dinamakan (parti), kita panggil dan tanya apa yang berlaku, jika benar kita dapati aduan itu bernas, kita ambil tindakan.
"Kita perlu mencari jalan menghentikan perkara ini, tidak kira ugutan tersebut datang dari pihak mana.
"Dulu, kerajaan PN, kita dengar masalah sama, tetapi sekarang, dalam kerajaan ini pun, saya dengar masalah yang sama," katanya.
Gobind berkata demikian sambil merujuk Seksyen 4 Akta Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang memberi kuasa kepada Dewan Rakyat untuk menyiasat, menghakimi, dan mengumumkan ke atas pelanggaran sebarang tindakan yang boleh dihukum sebagai penghinaan di bawah Seksyen 29 Akta sama.
Pada 12 Oktober lalu, Iskandar menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar, dia menyuarakan isu peningkatan kos sara hidup di kawasan pentadbirannya.
Ahli parlimen Kuala Kangsar itu juga berkata keputusan tersebut bertujuan untuk menguji sama ada perdana menteri ikhlas untuk memberikan peruntukan kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong dasar-dasar kerajaan perpaduan.
Susulan pengumuman itu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar telah 'diancam' untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar, atau berdepan risiko tuduhan rasuah.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah menafikan dakwaan tersebut.
Sementara itu, Utusan Malaysia memetik bekas naib pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyifatkan dakwaan PN adalah semata-mata 'andaian' yang tidak disokong dengan bukti.
Wan Ahmad berkata kedudukan Iskandar sebagai ahli parlimen masih 'selamat', kerana dia tidak akan kehilangan kerusinya atas tindakan menukar parti.
Seorang ahli parlimen mempunyai hak untuk menyokong sesiapa sahaja, walaupun pendiriannya bertentangan dengan parti diwakili mereka, katanya.
Bagaimanapun, Bersatu berkata buat masa ini, tiada sebarang tindakan untuk menggugurkan Iskandar, namun parti tersebut belum membincangkan langkah atau tindakan yang akan diambil.