Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasat pemegang saham MyAirline, pihak luluskan lesennya - MP

PARLIMEN | Kerajaan digesa melancarkan siasatan jenayah terhadap pemegang saham MYAirline dan pegawai kerajaan yang telah meluluskan lesen perkhidmatan udara syarikat penerbangan itu.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) memberitahu sidang khas di Dewan Rakyat hari ini bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat itu juga harus dihalang daripada meninggalkan negara manakala aset mereka dibekukan oleh kerajaan sementara menunggu siasatan.

"Saya minta kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan agensi yang lain seperti polis, SPRM Kementerian Kewangan dan juga agensi penguatkuasa yang relevan untuk ambil tindakan...

"(Ini termasuk) membatal atau menarik balik pelesenan MyAirlines serta merta.

"Serta menyiasat proses kelulusan MyAirline ketika itu termasuk sama ada unsur-unsur rasuah atau unsur-unsur pelanggaran peraturan pegawai-pegawai dan menteri-menteri ketika itu.

"Syarikat MyAirlines ini, pemegang saham, seluruh lembaga pengarah disiasat bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bawah akta SPRM, bawah perkara anti pengubahan wang haram, dan juga penipuan, pecah amanah dan sebagainya.

"Saya rasa tindakan ini bukan hanya nak menyelesai wang penumpang atau wang pekerja mesti siasat daripada segi kesalahan jenayah.

“Tidak boleh dilepaskan daripada hukuman yang berat," katanya.

Lim membuat cadangan itu sebagai tambahan kepada usul Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), yang menuntut Kementerian Pengangkutan menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai penggantungan tiba-tiba operasi MyAirline minggu lalu.

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata cadangan Lim bukan dalam bidang kuasa kementeriannya tetapi percaya agensi berkaitan lain mungkin meneliti perkara itu.

Lim juga mahu kerajaan berjanji bahawa ia tidak akan menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Bagi, pertanyaan itu Hasbi menjawab, "I think the bailout days are over" (saya fikir, zaman kerajaan selamatkan syarikat sudah berakhir).

Sementara itu, timbalan menteri berkenaan juga berkata apa yang berlaku dengan MYAirline turut menjadi pengajaran kepada Kementerian Pengangkutan dan agensinya apabila meneliti permohonan lesen perkhidmatan udara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Ini selepas R Yuneswaran (PH-Segamat) membangkitkan isu mengenai individu di sebalik syarikat yang memiliki MyAirline.

Menurut Yuneswaran, sebelum kerajaan meluluskan mana-mana syarikat untuk mengendalikan syarikat penerbangan, mereka harus menapis individu di belakangnya supaya memastikan mereka tidak mempunyai rekod kes jenayah sebelum ini, termasuk yang berkaitan dengan pengubahan wang haram atau jenayah kewangan.

Hasbi menjawab insiden itu akan menjadi titik rujukan dalam siasatan pihak berkuasa terhadap kes itu dan untuk proses pelesenan mereka pada masa hadapan.

"Sebab ya lah, lesson is always learnt lah, kata orang.

MP Segamat R Yuneswaran.

"Jadi sudah pastinya ini menambah kematangan kita lagi dalam melihat lebih teliti.

“Tapi ya lah, syukurnya tidak membabitkan kemalangan jiwa walaupun dengan penutupan syarikat ini.

"Dari sini, ini akan menjadi satu kriteria yang pasti dalam permohonan masa depan untuk lesen pesawat masih banyak yang perlu dipohon.

"Ia pasti menjadi salah satu SOP kita, dan mungkin kita juga perlukan siasatan untuk memastikan kita mendapat lesen ini, kita kena buat tapisan dari agensi lain juga," katanya.

Menjawab soalan Khairil Nizam mengenai apa yang menyebabkan MYAirline menggantung operasinya secara tiba-tiba, Hasbi memberitahu Dewan Rakyat bahawa mereka masih menyiasat perkara itu.

Walaupun terdapat khabar angin tentang apa yang mungkin berlaku, timbalan menteri itu berkata pihaknya tidak boleh bertindak berdasarkan khabar angin.

Hasbi berkata siasatan telah dimulakan terhadap syarikat penerbangan itu yang diberi masa 14 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Selepas itu, baru akan dapat memastikan semua fakta, kata Hasbi.

Pada 12 Okt, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya, memetik "tekanan kewangan yang ketara", hampir setahun selepas penerbangan sulungnya.

Pengumuman mendadak itu mengejutkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang menggelar syarikat itu "tidak bertanggungjawab".

Pada hari Sabtu, syarikat penerbangan itu mengumumkan bahawa ia menawarkan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS