Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, anak tetap kena bayar cukai RM1.7 bilion - Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya untuk membatalkan penghakiman terus terhadap mereka dalam kes tunggakan cukai pendapatan yang masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM36.7 juta.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, pagi ini sebulat suara menolak rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin.

Kedua-dua mereka  memohon supaya dibenarkan untuk membentangkan pernyataan pembelaan terhadap saman cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mereka mendakwa bahawa Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 121 yang berkaitan dengan kuasa badan kehakiman di Malaysia.

Seksyen 106, secara amnya, memberi kuasa kepada LHDN untuk memulakan tindakan sivil di mahkamah bagi mendapatkan semula tunggakan cukai dan penalti daripada pembayar cukai.

Seksyen 106(3) secara khusus menyatakan bahawa berhubung dengan tindakan sivil LHDN untuk mendapatkan semula cukai, mahkamah “tidak akan melayan sebarang pengakuan bahawa jumlah cukai yang ingin dipulihkan adalah berlebihan, tidak betul ditaksir, di bawah rayuan atau salah dinaikkan”.

Dengan keputusan itu, LHDN boleh memulakan tindakan pungutan cukai tersebut bermula hari ini.

Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada mereka bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Ketika membacakan keputusan, hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Nallini Pathmanathan berkata LHDN mengenakan cukai ke atas kedua-dua perayu dengan cara yang sama seperti yang dilakukan terhadap semua rakyat negara ini.

“Perayu tidak dikhususkan untuk layanan diskriminasi atau diperlakukan dengan cara yang tidak diperuntukkan dalam Akta Cukai Pendapatan. Tiada asas bukti dalam rekod untuk menyokong perkara sedemikian.

“Oleh itu, tiada asas untuk dakwaan bahawa terdapat perlanggaran Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS