Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan tarik diri dari projek 'kambing dan pasir silika' di Sabah
Diterbitkan:  Oct 15, 2023 3:49 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Seorang ahli perniagaan yang didakwa terlibat dalam ‘kontroversi’ berkaitan perjanjian tanah di Kudat, Sabah menarik balik cadangan pelaburan syarikatnya di negeri itu.

Thomas Hah Tiing Siu tidak menjelaskan secara khusus pelaburan tersebut, tetapi dipercayai ia berkaitan dengan isu penternakan kambing dan perlombongan pasir silika di Pulau Balambangan.

“Setelah mengambil kira isu dan polemik yang dibangkitkan pihak tertentu, dengan rasa kesal syarikat telah membuat pertimbangan sewajarnya dan memutuskan untuk menarik balik cadangan pelaburan pembangunan untuk sektor pertanian kawasan terbabit.

“Kontroversi yang telah berlaku yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan keyakinan rakan pelabur kita,” kata Hah dalam satu kenyataan.

Hah bagaimanapun menegaskan semua permohonan yang dibuat adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri bagi memajukan agenda pertanian negeri Sabah untuk meningkatkan keselamatan makanan.

Menurutnya surat rasmi kepada kerajaan negeri bagi memaklumkan keputusan itu akan dikemukakan kemudian.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor baru-baru ini didakwa menyalahgunakan kuasa dalam kelulusan enam permohonan tanah melibatkan 968.4 hektar.

Dia menafikan dakwaan itu, yang timbulkan di Facebook, dan mendakwa ia dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya.

Hajiji berkata semua permohonan telah melalui prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC).

Ketua menteri itu juga mengarahkan siasatan terhadap kebocoran dokumen sulit, yang talh disebarkan.

'Untuk keselamatan makanan'

Hah dalam kenyataannya turut menegaskan permohonan yang dibuat memenuhi semua peruntukan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Permohonan yang dibuat adalah selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk memajukan sektor pertanian demi keselamatan makanan melalui cadangan projek penternakan dan pertanian serta dirujuk kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.

“Tujuan ini jelas dinyatakan dalam setiap permohonan. Kelulusan yang diberikan Kerajaan Negeri mengandungi pelbagai syarat dan antaranya jika syarikat tidak membangunkan tanah seperti yang dihasratkan, kelulusan itu boleh dibatalkan,” katanya.

Suulan dakwaan itu, ADUN Sekong, Alias Sani dan ADUN Elopura ,Calvin Chong membuat laporan polis terhadap Hajiji, yang merupakan presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Pemuda Warisan turut memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PGRS Nizam Abu Bakar pula membuat laporan polis bagi menangkis dakwaan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS