Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan gagal buktikan kes terhadap NFCorp, keluarga Shahrizat bebas

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Putrajaya gagal membuktikan sebarang salah guna berkaitan pinjaman RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp).

Hakim mahkamah sivil Anand Ponnudurai berkata demikian ketika menyampaikan keputusannya berhubung saman kerajaan persekutuan selaku plaintif terhadap NFCorp dan 10 defendan lain, termasuk pengerusi eksekutif syarikat itu Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Anand memutuskan bahawa wang pinjaman tidak digunakan secara salah dan tiada pelanggaran kewajipan fidusiari oleh 11 defendan, yang turut termasuk tiga anak Salleh - ketua pegawai eksekutif syarikat Wan Shahinur Izran, dan pengarah Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Mahkamah juga membebaskan keluarga Salleh sepenuhnya daripada sebarang dakwaan penyelewengan.

Mahkamah juga mendapati kerajaan persekutuan melanggar Perjanjian Pelaksanaan (IA) apabila plaintif gagal membina Rumah Sembelih Kualiti Eksport (EQA) dan melanggar Perjanjian Kemudahan Pinjaman (LFA).

Anand menegaskan bahawa adalah tidak menyalahi undang-undang untuk NFCorp menggunakan sebahagian daripada pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat, sekaligus menyebabkan syarikat itu tidak melanggar perjanjian pinjaman dan IA.

Semasa membacakan keputusan yang panjang itu, mahkamah sivil mendapati bahawa sasaran projek itu tidak tercapai kerana kegagalan kerajaan membina EQA.

Hakim juga mengarahkan NFCorp memulangkan RM33.7 juta daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan kepada kerajaan.

Anand juga mengarahkan supaya hartanah pelaburan itu dipindahkan kepada kerajaan.

Tuntutan balas

Sementara itu, mahkamah membenarkan tuntutan balas NFCorp terhadap kerajaan kerana melanggar perjanjian dan membenarkan ganti rugi nominal RM10,000.

Peguam kanan persekutuan Nurhafizza Azizan dan Ashraf Abdul Hamid dari Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili kerajaan.

NFCorp diwakili peguam Kiru K Kirubakaran, Rajan Navaratnam dan Chong Kah Yee.

Pada 31 Mei 2019, kerajaan memfailkan tindakan sivil yang menyenaraikan 11 defendan termasuk enam syarikat berkaitan.

Enam syarikat itu ialah National Meat & Livestock Corp Sdn Bhd, Real Food Co Sdn Bhd, Meatworks Corp Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corp Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Menurut pernyataan tuntutan itu, kerajaan memohon pengisytiharan mahkamah agar keluarga Salleh bertanggungjawab secara peribadi untuk pembayaran balik hutang itu.

Kerajaan mendakwa ia memeterai perjanjian dengan NFCorp pada 6 Dis 2007, untuk pinjaman RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan sejajar dengan dasar kerajaan untuk membangun dan memajukan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS