Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Kuala Kangsar sokong Anwar, kekal dengan Bersatu
Diterbitkan:  Oct 12, 2023 9:37 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan memetik kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.

Dia berkata keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada perdana menteri ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

"Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

"Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum yang meletakkan syarat ahli parlimen pembangkang - yang pada masa ini tidak mendapat sebarang peruntukan persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka - untuk menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.

Sebaliknya, Anwar dan ahli parlimen kerajaan yang lain telah berkali-kali memberitahu ahli parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.

Sementara itu, Dzulkarnain menegaskan dia tetap setia bersama Bersatu, walaupun mengakui berisiko berdepan tindakan tatatertib.

"Biarpun saya berkemungkinan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin parti, saya tidak sanggup melihat pengundi-pengundi di kawasan saya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik," tambahnya.

Dalam maklum balas segera, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dilaporkan berkata Dzulkarnain perlu dirujuk kepada speaker Dewan Rakyat.

Malay Mail memetiknya sebagai berkata, ini kerana hanya speakaer yang boleh memutuskan sama ada Dzulkarnain melanggar undang-undang antilompat parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS