Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM serbu lima kilang beras di Kedah
Diterbitkan:  Oct 12, 2023 5:57 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu lima kilang beras di Kedah yang disyaki terlibat dalam penyelewengan subsidi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tiga kilang diserbu hari ini manakala dua lagi semalam.

Azam Baki

Beliau berkata SPRM tidak melihat kepada isu penyorokan beras tetapi lebih kepada isu subsidi yang berpotensi mempunyai unsur rasuah.

“Perspektif SPRM adalah lebih kepada kesalahan-kesalahan rasuah yang mungkin berlaku terutama jika melibatkan dana wang kerajaan berkaitan subsidi sekiranya ia diseleweng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Perkongsian Awam Swasta Fasa Dua: Cabaran Bersama Integriti Dalam Menangani Jenayah di Kuala Lumpur hari ini.

“SPRM tidak sasarkan mana-mana ahli politik atau kerajaan negeri dalam isu (serbu kilang beras di Kedah) kerana tugas kami adalah untuk meneliti sebarang maklumat dan aduan yang diterima,” katanya.

Azam juga berkata SPRM akan bertindak secara profesional untuk menyiasat individu yang terlibat tanpa mengira latar belakang mereka.

Beliau berkata SPRM perlu meneliti dokumen seperti tuntutan untuk melihat jika terdapat unsur penyelewengan dan akan memanggil pihak yang mengawal selia padi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mengulas mengenai siasatan SPRM membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan rakan kongsinya yang ditahan bersama wang tunai RM38 juta pada Julai lepas, Azam berkata kes itu sedang disiasat oleh pasukan petugas yang dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pada 25 Julai lepas, lelaki bergelar Datuk serta rakan kongsinya ditahan dalam Op 82S dan emas seberat 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah telah dirampas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS