Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kerajaan perlu membangunkan loji rawatan air (LRA) baru di pulau-pulau dalam negara sebagai langkah bagi mengatasi peningkatan kadar air tidak terhasil (NRW) pada masa akan datang.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kebocoran paip berlaku di dasar laut dan menyebabkan air yang terawat itu akan terbazir sahaja ke laut.

"Banyak loji LRA ini dibina di tanah besar bukan di pulau, bermakna kita hantar ke pulau air yang sudah dirawat. Bila berlakunya kebocoran paip dibawah laut atau dasar laut menyebabkan kadar NRW meningkat.

"Sebab yang kita hantar itu adalah air yang dah dirawat, saya mencadangkan bahawa pembinaan LRA dibuat di pulau, bukan di tanah besar.

"Dengan penghantaran air mentah yang belum rawat, kalau berlaku kebocoran sekalipun kadar NRW tidak akan meningkat dan kos lebih rendah berbanding kita bina loji di tanah besar," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, pindaan tersebut akan melibatkan 10 peruntukan sedia ada dan dua tambahan yang bertujuan memperkasa dan memudahkan perjalanan SPAN dari segi kewangan, memendekkan tempoh khidmat anggota suruhanjaya serta meminimumkan kuasa menteri.

Semasa perbahasan, Tuan Ibrahim berkata cadangan untuk membina loji rawatan air itu boleh dibina di pulau-pulau seperti Langkawi dan Labuan bertujuan untuk mengurangkan peningkatan NRW.

"Boleh bina samada di Labuan, Langkawi sebagai contoh. Macam Langkawi sekarang menghadapi masalah kritikal kerana kebocoran yang agak lama dan melibatkan kos yang agak besar untuk dibaiki," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS