Paling Popular
Terkini

Susulan kekecohan yang timbul di Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati apabila usul Taufiq Johari (Pakatan Harapan-Sungai Petani) diluluskan untuk dibahaskan di kamar khas hari ini menyaksikan Awang Solahuddin Hashim (Perikatan Nasional-Pendang) diarahkan keluar.

Dia diminta meninggalkan persidangan Dewan Rakyat sehingga selepas makan tengah hari pada jam 2.30 petang.

Awang menyebut "anak bapa" selepas Shahidan Kassim mempersoalkan mengapa usul Taufiq yang dikemukakan semalam (Rabu) diluluskan sedangkan dia mengemukakan usulnya pada Selasa lalu.

Awang Solahuddin kemudian menyampuk dan menyebut perkataan ‘anak bapa’ beberapa kali.

Shahidan: Saya hantar Selasa, yang ini (Mohammed Taufiq) hantar Rabu. Kenapa saya dinafikan hak?

Awang Solahuddin: Anak bapa, anak bapa.

Taufiq adalah anak kepada speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul. Usulnya adalah untuk membahaskan isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan.

Semasa mengumumkan kelulusan usul Taufiq, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau berkata usul itu telah dibincangkan oleh rakannya, Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor.

Katanya, usul itu diterima selepas memenuhi keperluan di bawah mesyuarat Peraturan Mesyuarat 18(1).

"Pertama itu adalah perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perkara ini perlu disegerakan," katanya sambil memaklumkan perbahasan itu akan diadakan sesi kamar khas petang ini.

Kedua-dua Taufiq dan RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian menuntut Awang menarik balik kenyataannya, dengan Taufiq turut mempersoalkan apa yang dimaksudkan dengan "anak bapa".

“Konflik kepentingan,” jawab Awang ringkas, yang mencetuskan satu lagi perbalahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengingatkan semua ahli Parlimen agar tidak “menyerang” atau mempersoal keputusan yang dibuat oleh speaker pada sesi persidangan Parlimen.

Beliau turut mengingatkan ahli dewan agar tidak melibatkan beliau dalam permainan politik kerana peranannya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat hanyalah untuk menyelesaikan isu rakyat, dan tindakan menyerang speaker tidak memberi sebarang manfaat.

Johari Abdul

“Saya tidak dilantik oleh mana-mana parti, saya dipilih bawah Perlembagaan, untuk itu saya dipilih oleh ahli-ahli Parlimen… if you don’t like me, put a motion that’s all, get me out of here, tetapi as long as I’m here, bila ada peraturan-peraturan mesyuarat listenlah, sebab I don’t play games here, I don’t play any political game.

(… jika kalian tidak sukakan saya, buat usul gugurkan saya, tetapi selagi saya di sini, bila ada Peraturan-Peraturan Mesyuarat, patuhilah, sebab saya bukan main-main, saya tidak terlibat dalam permainan politik)

“Saya memohon sangat, please do not fight with Speaker because you will not gain anything by fighting with Speaker, I try to do my job untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

(… janganlah melawan speaker kerana anda tidak akan dapat sebarang faedah bergaduh dengan speaker, saya cuba laksanakan tugas saya untuk selesaikan masalah rakyat)

Beliau berkata demikian selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoal keputusan speaker membenarkan usul Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dibawa ke Kamar Khas terlebih dahulu walaupun Shahidan mengemukakan usulnya lebih awal daripada wakil rakyat penyokong kerajaan itu.

“Arau telah memasukkan usul di bawah Peraturan 18 (1), satu usul pada 10 Okt, Selasa pada 3.45 petang dan kedua hari Rabu 11 Okt, 5.34 petang tapi usul yang Arau bawa bukan isu padi, (tetapi) isu penyalahgunaan kuasa kakitangan awam kanan dalam kempen politik.

“Keduanya, isu kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan dan sektor kedai gunting rambut, jadi tidak sangkut paut dengan isu padi yang disorok, jadi saya kira apa yang Arau bangkitkan bahawa saya tidak berlaku adil, tidak memberikan peluang untuk beliau berucap, adalah salah,” kata Johari.

Terdahulu, Dewan Rakyat dimaklumkan usul dikemukakan Dr Mohammed Taufiq mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah diterima untuk dirunding di Kamar Khas pada 2.30 petang ini.

Timbalan Yang Dipertua Alice Lau Kiong yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu, menjelaskan bahawa keputusan penerimaan usul tersebut dibuat atas pertimbangan Timbalan Yang Dipertua Datuk Ramli Mohd Nor.

"Beliau (Ramli) sudah meneliti dan didapati usul itu tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan," kata Lau.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan sedikit kekecohan apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengeluarkan kenyataan “anak papa” dan konflik kepentingan semasa Shahidan bangkit meminta penjelasan Lau berhubung usul beliau yang belum mendapat jawapan.

Kenyataan Awang itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS