Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi mendedahkan bahawa anak-anak Loh Siew Hong yang diislamkan secara sepihak atau unilateral tidak mahu kekal dalam agama itu.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata demikian hari ini ketika menolak permohonan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (Maips) yang mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak ibu tunggal itu yang sebelum ini diislamkan oleh bapa mereka.
Maips memohon mendapatkan perintah variasi terhadap ketiga-tiga anak itu - kembar perempuan berusia 15 dan seorang lelaki berusia 11 tahun - supaya dapat membimbing mereka berhubung pendidikan agama Islam.
Isu itu tercetus apabila bekas suaminya, seorang mualaf, Muhammad Nagahswaean Muniandy menukar agama tiga anak mereka pada 2020 tanpa kebenaran Loh.
Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini , Hakim Hayatul berkata mahkamah tidak yakin bahawa permohonan Maips itu akan memelihara kebajikan tiga beradik tersebut.
Katanya, pertimbangan mahkamah adalah bahawa kepentingan kanak-kanak tersebut mengatasi kepentingan lain dan pihak-pihak harus menerima situasi tersebut sambil meminta masa depan mereka tidak dinafikan atau diganggu.
Dia berkata, pendedahan tiga beradik tersebut bahawa mereka tidak berminat untuk mendalami ajaran Islam diperolehi hasil temu bual terhadap mereka yang dijalankan secara berasingan dalam kamar untuk tempoh kira-kira sejam 30 minit pada prosiding 27 September lalu.
Temu bual itu bagi membolehkan mahkamah mendapat maklum balas daripada kanak-kanak itu sendiri berhubung permohonan Maips untuk melaksanakan tanggungjawab memberi didikan agama kepada mereka.
Menurut Hakim Hayatul Akmal ketiga-tiga anak itu kini lebih selesa menetap dengan Loh selepas hidup dalam keadaan trauma akibat terpisah selama tiga tahun. Ini juga selepas mendapati bapa mereka terlibat dalam dadah dan sering mendera ibu mereka.
“Mereka sangat gembira pergi ke sekolah sekarang dan menjalani aktiviti kokurikulum.
"Mereka beritahu saya mereka tidak mahu menjadi Islam," kata Hayatul.
Hakim itu berkata, mengambil maklum berhubung laporan media lepas yang menyebut kanak-kanak itu didakwa menunaikan solat, dia berkata mereka memberitahunya bahawa ini adalah kerana mereka tiada pilihan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk memberikan pendidikan asas Islam kepada tiga kanak-kanak mualaf yang diletakkan di bawah jagaan ibu mereka, Loh Siew Hong.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan MAIPs tidak mempunyai merit.
"MAIPs telah gagal membuktikan kesnya dalam permohonan itu. Tiada justifikasi yang sah atau munasabah… Selepas menimbang semua fakta serta hujahan, saya mendapati tiada merit dalam permohonan MAIPs dan menolak permohonan itu. Tiada perintah berkaitan kos,” katanya.
Beliau berkata susulan pengalaman traumatik yang dialami oleh kanak-kanak terbabit, pertikaian yang berlarutan serta tidak perlu berhubung akses bukanlah perkara terbaik untuk mereka.
“Semua pihak harus menerima situasi ini. Berhenti menafikan dan campur tangan dalam kehidupan mereka ketika mereka sedang membesar serta hormatilah mereka sebagai anak yang matang. Mereka tidak sepatutnya dijadikan alat dalam perundangan bagi memaksa mereka melakukan apa yang mereka enggan lakukan,” katanya.
MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran, memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup mereka dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.
Pada 7 Feb lepas, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan MAIPs untuk menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian yang difailkan oleh bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy, membabitkan isu hak penjagaan tiga anak mereka yang diperoleh wanita itu.
Loh, 34, telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
Hayatul Akmal juga berkata kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu tidak dapat dipenuhi dengan memberikan akses kepada MAIPs bagi mendekati mereka dua kali seminggu untuk memberikan pendidikan asas Islam.
Beliau berkata semasa sesi temu bual pada 27 Sept, kanak-kanak terbabit memaklumkan bahawa mereka tahu mengenai permohonan MAIPs untuk mendapatkan akses kepada mereka dan mereka tidak mahu perkara itu berlaku.
Hakim itu berkata kanak-kanak terbabit telah menyatakan bahawa mereka ingin tinggal bersama ibu mereka dan takutkan bapa mereka yang terlibat dengan najis dadah serta sering mendera ibu mereka.
"Kanak-kanak terbabit berkata mereka amat gembira ke sekolah ketika ini dan menjalani aktiviti kokurikulum. Mereka memaklumkan saya bahawa mereka tidak berminat untuk kekal sebagai penganut agama Islam," katanya.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili MAIPs manakala Loh diwakili J Gunamalar.
Sementara itu, Loh berkata beliau berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang campur tangan dalam kes tersebut.
“Saya ingin hidup dengan tenang bersama anak-anak, saya tak mahu orang kacau saya, cukuplah. Sebagai seorang ibu, saya mahu fokus mengenai pendidikan mereka, bukan fikir pasal kes mahkamah sahaja kerana kami mahu hidup dengan tenang,” katanya dalam nada sebak.