Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah bekas SU Agung MCA: Pua, Yeo tarik balik rayuan

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah menarik balik rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM350,000 kepada bekas setiausaha agung MCA Chew Mei Fun.

Peguam Syahredzan Johan, yang mewakili Pua dan Yeo, memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa kedua-dua mereka memutuskan untuk menarik balik rayuan berhubung keputusan yang dibuat tahun lepas.

Syahredzan Johan

Panel rayuan pada mulanya menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan mereka.

Ketika dihubungi selepas prosiding dalam talian hari ini, Syahredzan memaklumkan bahawa Chew turut menarik balik rayuan balasnya terhadap kuantum ganti rugi dan mahkamah rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini terdiri daripada Hakim Supang Lian, Hashim Hamzah dan Wong Kian Kheong.

"Kami berterima kasih kepada pihak yang capai penyelesaian hari ini," kata Hakim Supang yang mempengerusikan panel itu.

Sementara itu, Bernama memetik peguam Chew, Rueben Mathiavaranam sebagai berkata, susulan penarikan rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi kekal.

“Jumlah yang diarahkan untuk dibayar, telahpun dibayar kepada kami (firma guamannya) dan jumlah itu disimpan bersama kami, sementara menunggu keputusan perbicaraan (rayuan) di Mahkamah Rayuan.

“Kini kami boleh memberikannya kepada pelanggan kami,” kata Rueben.

Pada 30 Nov tahun lalu, hakim Roslan Abu Bakar memutuskan Pua dan Yeo bertanggungjawab memfitnah Chew melalui tiga artikel disiarkan dalam portal berita pada tahun 2017.

Dalam artikel yang didakwa memfitnah berkenaan, Chew didakwa meluluskan penjualan tanah di Selangor di bawah nilai pasaran ketika dia berada dalam Jawatankuasa Tanah Daerah.

Chew Mei Fun

Pada tahun 2018, Chew yang juga adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memulakan tindakan saman fitnah ke atas Pua dan Yeo.

Ini berhubung kenyataan mereka yang dimuatkan dalamartikel di tiga portal berita serta video Facebook yang dibuat antara 14 dan 19 Sept 2017 - yang disifatkan Chew sebagai dakwaan palsu.

Pada masa itu Yeo ialah Adun Damansara Utama, dan Pua ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Kedua-dua mereka dalam sidang media sebelum ini mendakwa Chew, sebagai bekas ahli parlimen Petaling Jaya Utara dan sebahagian daripada Jawatankuasa Tanah Daerah (JTK) yang diberi kuasa untuk meluluskan urusan tanah di kawasannya, telah terlibat dalam pembelian tanah di bawah harga pasaran.

Dalam keputusannya, Roslan berkata mahkamah mendapati plaintif tidak pernah menjadi ahli JTK yang meluluskan pemberian hak milik tanah tersebut kepada MCA pada masa itu, iaitu antara 2006 dan 2007.

Roslan menegaskan bahawa walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua defendan adalah mengenai kepentingan awam, kenyataan kedua-dua mereka mengandungi unsur-unsur niat jahat kerana ia dibuat secara melulu dan tidak mengambil kira sama ada benar atau palsu tanpa membuat siasatan terlebih dahulu untuk memastikan kebenaran.

Roslan memerintahkan Pua dan Yeo membayar ganti rugi am masing-masing RM200,000 dan RM150,000 kepada Chew, yang termasuk ganti rugi teruk.

Hakim mengarahkan kedua-dua defendan membayar faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah yang diberikan dari tarikh penghakiman hari ini sehingga tarikh pembayaran penuh.

Roslan juga mengarahkan Pua dan Yeo membayar kos secara kolektif RM50,000 kepada plaintif.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS