WAWANCARA | Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berasa sedih dengan masalah keciciran di kalangan kanak-kanak, apalagi jika mereka dinafikan pendidikan kerana kekurangan dokumen kerakyatan.
Katanya, pentadbiran kerajaan Madani komited untuk memerangi fenomena ini.
“Sebab itu kita mahu memperkasakan konsep Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Kami hanya mempunyai satu institusi di Chow Kit, dengan kapasiti maksimum 200 pelajar.
“Apa yang kami lakukan sekarang ialah memperluaskan program itu. Kami tidak membina lebih banyak Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, tetapi kami akan melanjutkan program ini.
“Kami akan melancarkannya di Sabah hujung bulan ini. Dan kemudian, kami akan mengembangkan ke kawasan lain yang mempunyai bilangan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tinggi.
"Kami bekerjasama dengan Sarawak. Kerana mereka akan ada cara tersendiri untuk mengendalikannya.
“Tetapi kami akan melancarkan di Sabah dahulu kerana kami tahu ia adalah kawasan yang mempunyai banyak kes," katanya memberitahu Malaysiakini pada temu bual baru-baru ini.
Ahli parlimen Nibong Tibal penggal pertama itu mengakui perkara berkenaan akan menjadi cabaran baru buat dirinya, berkata kerajaan telah melihat bagaimana kanak-kanak di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih mencapai kejayaan.
“Kita kena lihat secara holistik. Kanak-kanak tanpa dokumentasi selalunya mempunyai keyakinan diri yang rendah. Mereka terdedah untuk menjadi mangsa pelbagai penyakit sosial.
"Itulah sebabnya kita mesti memberi mereka sistem sokongan, ia bukan hanya mengenai dokumen tetapi seluruh pembangunan (sosial) mereka," katanya.
Fadhlina menambah bahawa tindakan kementeriannya di Sabah itu juga berdasarkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan dan bantuan pihak NGO.
“Kami (KPM) melawat sebuah NGO yang telah membantu kanak-kanak tanpa izin mendapat pendidikan.
"Kami membuka pintu kami kepada semua orang yang ingin membantu,” katanya.
Fadhlina berkata selain menambah baik kemudahan Kementerian Pendidikan, guru dan kakitangan perlu berbincang dengan ibu bapa bagi memastikan mereka komited dengan idea untuk pergi ke sekolah.
“Dalam konsep ekonomi Malaysia Madani, terdapat penekanan terhadap "penyertaan masyarakat" dalam pendidikan.
"Bersama Orang Asli, kami mengadakan program secara langsung bersama ibu bapa mereka. Kami mengajar ibu dan bapa membaca supaya mereka boleh membantu anak mereka di rumah.
“Model khas ini amat penting untuk anak-anak Orang Asli dan mereka yang berada di kawasan pedalaman, bagi membolehkan mereka bersekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima.
"Kita sasarkan tiada keciciran, tiada masalah logistik kerana mereka tinggal di asrama atau rumah berdekatan,” katanya.
Fadhlina menjelaskan dasar KPM supaya 'tiada siapa yang tercicir' dalam pendidikan termasuk kanak-kanak dalam situasi terpinggir dan di pedalaman.
Menteri pendidikan juga berkata KPM komited dengan Dasar Sifar Penolakan untuk murid berkeperluan khas.
Dasar Sifar Penolakan merupakan dasar sedia ada yang diperkasakan bagi memastikan penempatan murid berkeperluan khas di sekolah-sekolah KPM tanpa menafikan hak mereka untuk menerima hak pendidikan.
Perlaksanaan dasar ini telah melibatkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di mana murid berkeperluan khas boleh diterima masuk ke mana-mana Program Pendidikan Inklusif (PPI), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas (SPK).
Dasar ini mendukung kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 yang menyatakan bahawa murid berkeperluan khas berhak mendapatkan akses kepada pendidikan yang relevan dan sesuai.
Fadhlina yang juga graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia amat menyedari tanggapan bahawa terdapat kemerosotan keseluruhan dalam mutu pendidikan Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
“Saya lebih suka tidak menggelarnya sebagai satu kemerosotan tetapi melihatnya sebagai satu cabaran, sentiasa ada peluang, dan sentiasa ada cara untuk memperbaiki diri.
“KPM adalah kementerian yang sangat kompleks, sangat besar dan sentiasa menghadapi cabaran.
“Kita mesti digalakkan untuk menyorot teladan SK Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang disenarai pendek antara 10 teratas Sekolah Inovasi Terbaik Dunia.
"SK Kanchong Darat, Banting, Selangor, berada dalam senarai pendek 10 Terbaik untuk Hadiah Sekolah Terbaik Dunia untuk Menyokong Kehidupan Sihat manakala tahun lepas SK Kempadang Kuantan menjadi tiga finalis teratas Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi
“Ketiga-tiga sekolah ini membuktikan bahawa kita boleh mencapai kejayaan berdasarkan model kita sendiri, tetapi kita mesti mencari jalan untuk menjadikannya berkembang luas.
“Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kita sedang meningkatkan kualiti pendidikan dan pada masa yang sama, kita perlu menangani kelemahan secara khusus,” katanya.
Pengajaran pandemik
Fadhlina berkata, merapatkan jurang akses antara sekolah bandar terkemuka dengan sekolah pedalaman yang kemudahannya serba kekurangan merupakan masalah utama yang perlu diselesaikan dalam pendidikan.
“Apabila kita berkata tiada sesiapa yang tercicir, ia sentiasa mengenai akses.
"Kita boleh mulakan dengan menyediakan kemudahan sekolah di hospital sebagai contoh, bagi kanak-kanak yang tercicir kerana masalah kesihatan. Kita boleh ada sekolah di pusat pemulihan.
“Kami mempunyai Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, miskin dan rentan.
"Saya fikir kami mempunyai beberapa cabaran tetapi kami akan menghadapinya. Jangan berputus asa dalam hal ini,” kata Fadhlina.
Dia berkata penutupan sekolah kerana pandemik membuka matanya terhadpa masalah ini.
“Ia sebenarnya menjadikan kami lebih tabah menghadapi cabaran. Saya sangat menghargai guru-guru yang melakukan segala-galanya untuk memastikan akses kepada pendidikan semasa penutupan.
“Sebab itu kami melancarkan Dasar Digital Pendidikan. Kerana jika kita menghadapi satu lagi kejutan pandemik, kita mesti bersedia,” katanya lagi.
BACA WAWANCARA BERKAITAN:
Bahagian 1: Menteri: Peruntukan untuk tandas sekolah dipantau elak 'bocor'
Bahagian 2: Fadhlina tegas noktahkan buli, gangguan seksual