Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberikan komitmennya bahawa isu gangguan seksual dan buli akan ditangani secara berterusan sepanjang tempoh dia memimpin kementerian itu.

"Tidak akan ada lagi kes Ain Husniza pada zaman saya," katanya menyentuh kes pelajar sekolah Ain Husniza Saiful Nizam, yang bersuara pada April 2021 terhadap salah seorang gurunya kerana didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas.

Ain kemudian dihujani dengan saman dan ugutan - termasuk ancaman rogol daripada rakan sekelas, yang kemudiannya meminta maaf.

“Terdapat tiga dosa besar dalam Kementerian Pendidikan. Tiga dosa besar. Satu buli, kedua gangguan seksual dan ketiga perkauman.

Gambar fail, Ain Husniza membangkitkan isu jenaka rogol oleh guru di dalam kelasnya.

"Kami tidak akan berkompromi dengan ketiga-tiga isu ini,” kata Fadhlina kepada Malaysiakini semasa temubual minggu lalu.

“Sebab itu kami telah memperkemaskan garis panduan kerana kami tidak mahu ia berulang. Bulan lalu kami melancarkan dua garis panduan penting tentang buli dan gangguan seksual di sekolah.

“Kami memang memandang serius perkara ini dan sebab itu jika ada kes yang melibatkan gangguan seksual, ia mesti melalui proses terus kepada pihak berkuasa. Kami juga tidak mahu membenarkan sebarang ruang untuk aduan menjadi proses yang panjang.

“Jika ada aduan kita selesaikan aduan, jika ada laporan polis kita serahkan kepada polis,” katanya.

Fadhlina berkata dia berharap dapat memberi perlindungan kepada para pelajar.

“Kami akan melindungi kanak-kanak dengan segera. Melindungi kanak-kanak adalah sangat penting. Itulah sebabnya kaunseling juga merupakan bahagian penting dalam proses tersebut.

“Kami mahu bergerak menyelesaikannya melalui proses kerja yang betul dan jika boleh memberi keadilan kepada semua pihak.

"Itulah sebabnya garis panduan itu sangat penting pada ketika ini,” katanya.

Dia berkata ketika mula menjadi menteri pendidikan, dia perlu menghabiskan beberapa bulan untuk 'memenangi' hati pihak berkepentingan untuk mencapai matlamatnya.

“Kami terpaksa melibatkan guru, sekolah dan kakitangan. Selepas itu, saya telah menumpukan perhatian kepada isu-isu yang saya benar-benar ingin saya tangani semasa saya menjadi aktivis.

"Isu akses (pendidikan), jurang jantina dan gangguan seksual adalah sangat penting," tambahnya.

Pemeriksaan haid

Semasa berkhidmat di Dewan Negara, Fadhlina lantang memperjuangkan pelajar yang memfailkan aduan mengenai isu pemeriksaan mengejut haid, yang lazimnya berlaku di sekolah kediaman.

Walaupun menteri terdahulu Radzi Jidin didakwa tidak menangani isu itu secara langsung namun Fadhlina menegaskan tidak akan ada aduan sedemikian yang akan disembunyikan.

“Kami juga bersedia untuk menangani perkara ini secara langsung. Sejak saya masuk, tiada lagi aduan diterima,” katanya.

“Saya rasa ini kerana proses aduan kini sudah mantap. Kami mempunyai proses itu dan kami menyelesaikan aduan di peringkat akar umbi,” katanya.

Gambar fail, Radzi Jidi ketika menjadi menteri pendidikan melawat sebuah kolej vokasional berhubung dakwaan "pemeriksaan haid".

Radzi pada 15 Nov 2021 berkata pekeliling bertarikh 2 November kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri mengarahkan supaya amalan memeriksa haid pelajar diberhentikan sepenuhnya di mana-mana institusi di bawah KPM.

“Kami memerlukan kempen yang konsisten. Saya sentiasa percaya dengan konsistensi.

“Jadi kita ada lima menteri wanita dan kita semua akan menyokong satu sama lain dan kita terus turun di peringkat kementerian masing-masing.

“Apabila kementerian wanita bercakap mengenai gangguan seksual, Kementerian Belia dan Sukan bertindak balas dengan Kod Sukan Selamat, Kementerian Pendidikan bertindak balas dengan garis panduan. Jadi begitulah cara kami bekerja.

“Kami perlu bertindak segera dan orang akan melihat bahawa kami konsisten. Ia memerlukan usaha bersepadu untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai bahawa kami benar-benar melaksanakan apa yang kami cakap,” katanya.


BACA BAHAGIAN 1:

Menteri: Peruntukan untuk tandas sekolah dipantau elak 'bocor'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS