Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan pinda hukuman salah guna dadah dari penjara ke program rawatan

Kerajaan akan meminda kesalahan penyalahgunaan dadah daripada dikenakan hukuman penjara ditukar kepada program rawatan dan pemulihan dadah, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia bagi memastikan perundangan membabitkan kesalahan berkenaan terus relevan dalam usaha kerajaan untuk melakukan reformasi penjara dan pusat tahanan.

“Kita bercadang nak mengemukakan pindaan terhadap undang-undang atau akta berkaitan penyalahgunaan dadah khususnya Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika pindaan ini mendapat sokongan ahli berhormat dalam sidang kali ini, selepas ini pesalah jenis ini setelah disahkan oleh pegawai perubatan, kita akan terus bawa mereka ke pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Menteri Dalam Negeri berhubung isu reformasi penjara dan pusat tahanan pada persidangan Parlimen hari ini.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga sedang meneliti dengan serius pelaksanaan tahanan rumah dan penangguhan hukuman dengan intervensi oleh pegawai penjara.

Beliau berkata kedua-dua inisiatif baharu dalam kerangka reformasi penjara dan pusat tahanan itu lebih bersifat manusiawi terutamanya terhadap pesalah yang mempunyai risiko kesihatan selain dapat membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara.

“… kenapa tahanan rumah itu penting, bayangkan satu senario seorang wanita ketika ditangkap atau dijatuh hukum atas apa-apa kesalahan dia sedang hamil dan kerana hukumannya itu, dia mesti ditempat di penjara.

“… kalau kita boleh adakan tahanan rumah, ibu hamil ini akan berada di luar (penjara) menjaga kandungannya, tetapi kita akan pakaikan EMD (peranti pemantauan elektronik). Kalau kita tak teroka inisiatif ini, ibu hamil itu tentu akan menjadi penghuni penjara Sungai Buloh, Kajang, Seremban, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata setakat 6 Okt tahun ini seramai 906 daripada keseluruhan 1,268 banduan akhir telah memulakan proses semakan semula hukuman mereka selepas penguatkuasaan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) dan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Untuk itu 1,268 (banduan akhir) ada peluang kedua melalui pindaan ini dan mereka dibenarkan untuk mengambil peguam,” katanya.

Menurut Saifuddin Nasution menerusi pindaan itu, banduan terlibat akan dibenarkan melantik peguam untuk membuat rayuan termasuk banduan akhir warga asing.

Beliau juga telah memberi taklimat kepada semua wakil kedutaan asing bahawa warga mereka yang terlibat boleh membuat semakan terhadap hukuman mati untuk untuk membolehkan peluang kedua diberikan.

Persidangan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS