Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas atlet gimnastik T’ganu akui kecewa, tapi akur ke gelanggang wushu

Menceburi gimnastik seawal usia sembilan tahun dan mewakili Terengganu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Aimy Idzlin Mohd Fauzi, 18, tidak menjangkakan dia akhirnya meninggalkan sukan itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SKM) Bukit Nenas–sekolah sukan Terengganu– itu terpaksa melupakan dunia gimnastik yang sudah sebati dengan dirinya.

Bagaimanapun, selepas sembilan tahun, dia kini perlu menerokai selok-belok sertai menjiwai sukan baru susulan ketegasan Terengganu yang tetap melarang wanita menyertai gimnastik.

Mengenang pengalaman sepanjang bergelar atlet gimnastik Aimy Idzlin berkata, di usia kanak-kanak dia sebenarnya meminati tarian balet.

"Asalnya saya minat tarian balet, tapi tak ada tempat yang sediakan latihannya.

“Jadi ibu bapa saya jumpa satu kelab gimnastik. 

“Kerana asas tarian balet lebih kurang sama dengan gimnastik, di situlah saya bermula berjinak-jinak dengan gimnastik sehingga mewakili negeri pada Sukma 2018,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Aimy Idzlin (kiri) ketika sembilan tahun

Terengganu memperkenalkan larangan kepada atlet wanita daripada menyertai gimnastik pada 2019.

Bagaimanapun, katanya Sukma pertamanya itu mungkin menjadi Sukma terakhirnya sebagai atlet gimnastik.

Aimy Idzlin berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju barunya susulan keputusan Terengganu yang tetap melarang wanita Muslim menyertai gimnastik atas alasan pemakaiannya tidak patuh syariah.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan exco belia dan sukan Hishamuddin Abdul Karim tetap dengan keputusan berpegang kepada Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri pada Mac 2020.

Antara garis panduan yang ditetapkan ialah atlet beragama Islam hendaklah berpakaian yang ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.

Atlet bukan Islam pula disyorkan berpakaian serta tidak terlalu ketat, singkat atau jarang.

Susulan sekatan tersebut, sebahagian atlet gimnastik wanita Terengganu diserap sebagai atlet wushu

Aimy Idzlin antara salah seorang yang menerima tawatan itu.

Bagaimanapun, menurut Aimy Idzlin setakat ini dia belum dipanggil secara rasmi untuk menyertai latihan.

Ditanya perasaannya berikutan keputusan kerajaan negeri jelasnya, perkara itu memang mengecewakan namun dia tiada pilihan.

"Memang rasa kecewa juga sebab kita sudah dilatih sejak kecil dalam sukan gimnastik, begitu juga dengan ibu bapa saya. 

“Tetapi kita akurlah dan saya setuju untuk sertai pasukan wushu bagi kategori taolu.

"Wushu taolu acara yang paling dekat dengan gimnastik kerana ia melibatkan asas gimnastik, ia acara berbentuk persembahan sebaliknya bukan melibatkan pertarungan fizikal. Jadi saya cuma perlu adaptasi gimnastik kepada wushu taolu.

"Saya sudah bersedia untuk teruskan dan belajar perkara-perkara baru dalam suka wushu ini dan kini saya dan rakan-rakan menunggu panggilan untuk latihan lanjut," katanya yang kini melanjutkan pengajian di ICAN Collage.

Seorang lagi pelapis gimnastik Terengganu, Farhana Arissa Mohd Fajri, 18, berkata, dia turut mengambil keputusan untuk menyertai sukan wushu dan menunggu panggilan latihan rasmi.

Farhana Arissa Mohd Fajri ketika lapan tahun.

Walaupun kecewa terpaksa meninggalkan sukan gimnastik yang diceburi sejak usia lapan tahun katanya,  tawaran menyertai wushu taolu itu disambut baik.

"Memang sedih (tinggalkan gimnastik) sebab kita dah lama berlatih, habis wang, lalui kecederaan dan akhirnya tak dapat sertai Sukma. Dengan situasi itu saya pilih untuk cuba sertai sukan wushu dulu selain melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.

Farhana Arissa Mohd Fajri

"Bagi sukan wushu walaupun ada asas dan gerakan fleksibel seperti mana gimnastik, tetapi ia tetap satu sukan yang berbeza. Kami perlu bersedia untuk belajar banyak perkara baru," jelasnya.

Farhana berkata, dia mendapat latihan awal gimnastik ketika bermastautin di Kuala Lumpur dan pernah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke pertandingan di peringkat majlis sukan sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

"Selepas habis sekolah rendah, saya berpindah ke Terengganu dan belajar di SMK Bukit Nenas dan menjadi atlet pelapis bagi pasukan gimnastik Terengganu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS