Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini bangkit bersoladiriti bagi mempertahankan seorang wakil rakyatnya yang didakwa difitnah selepas gambar kononnya dia menghisap rokok elektronik atau vape di Dewan Rakyat tular di media sosial dan mendapat kecamanan.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata tindakan tegas harus diambil mengikut peraturan Dewan Rakyat ke atas jurugambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia susulan penyebaran gambar Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meletakkan sesuatu objek berbentuk silinder pada mulutnya yang disebarkan di media sosial, sebelum ini.

Takiyuddin Hassan

“Pihak kami memandang berat jika sekiranya pihak parlimen tidak mengambil apa-apa tindakan sewajarnya seperti yang telah diperuntukan bahawa pihak parlimen boleh mengambil tindakan kepada mana ahli dan juga orang luar yang melakukan kesalahan sebagaimana yang disenaraikan ada 14 kesalahan di bawah Akta 347 Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) ini.

“Salah satunya Seksyen 9 (e) iaitu mencela mana-mana ahli yang datang dan tinggalkan majlis. Sekarang ini terbukti seorang jurufoto dari pejabat perdana menteri mengambil secara salah gambar ini dan diviralkan.

“Persoalan di sini adakah jurufoto perdana menteri juga menjadi paparazi di Parlimen ini, tengok siapa buat salah dengan cara yang berunsur fitnah. Jadi saya harap parlimen memberikan satu petua adakah parlimen akan memanggil jurufoto terbabit?” kata Takiyuddin (PN-Kota Bharu).

Ronald Kiandee

Sementara itu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata Speaker Dewan Rakyat sepatutnya turut sama mempertahankan wakil rakyat yang terlibat.

“Sepatutnya speaker atau Parlimen selain daripada memberikan surat tunjuk sebab pada Tanah Merah (Ikmal Hisham ) untuk mempetahankan diri, Parlimen sepatutnya membuat siasatan dalaman.

“Parlimen ada akses kepada CCTV, Parlimen ada bukti fizikal di mana Bentara ada di sini, sepatutnya itu disiasat bukan meletakkan beban untuk membuktikan dia tidak bersalah kepada Tanah Merah untuk dia tidak merokok, tak hisap vape.

“Imej dia sebagai ahli Parlimen sepatutnya dipertahankan oleh speaker dan Parlimen ini,’ katanya.

Pada 21 September lalu, Ikmal Hisham didakwa menghisap vape di Dewan Rakyat selepas gambarnya memegang objek berbentuk silinder pada mulutnya tular di media sosial.

Bagaimanapun dia menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa objek yang dimaksudkan adalah sebatang pen kerana dia tidak merokok mahupun menghisap vape.

Laporan polis turut dibuat oleh pegawai khasnya, Wan Mohd Faissol Ismail di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, sehari kemudian.

Pada 23 September lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid mengesahkan tiada unsur jenayah ditemukan dalam laporan yang dibuat terhadap jurugambar berkenaan oleh seorang pembantu Ikmal Hisham.

Menurut Allaudeen, tiada siasatan dibuka berdasarkan laporan polis yang dikaitkan dengan gambar tersebut.

Sementara itu, bangkit mempertahankan diri, Ikmal Hisham sekali lagi menafikan dakwaan terbabit dan berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang telah memfitnahnya sekiranya terbukti dia tidak bersalah.

Ikmal Hisham Abdul Aziz

"Saya telah memberi penjelasan sesungguhnya saya tidak hisap rokok, tidak hisap vape dan saya telah beri penjelasan kalau ada bukti 20 tahun lepas kalau saya hisap rokok, saya tidak pernah hisap rokok.

“Hari ini saya dapat surat daripada speaker yang mana speaker menulis berdasarkan penelitian tidak dapat disahkan saya menghisap rokok elektronik dalam dewan oleh itu tidak ada tindakan dikenakan terhadap saya

“Saya nak jelaskan adakah Speaker telah memanggil juru foto tersebut, saya percaya juru foto yang profesional tidak akan ambil gambar hanya sekeping dan apakah ada semakan melalui CCTV dibuat?” soalnya.

Tambah Ikmal Hisham, imejnya tercemar ekoran gambar yang ditularkan itu.

“Saya juga minta speaker kalau terbukti saya tidak hisap vape, teguran perlu diberi kepada orang luar tidak kira jurufoto dan yang dibenarkan masuk, jangan buat viral,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS