Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Dunia patut dah ramal konflik terkini di Timur Tengah

Beberapa hari yang lalu, saya menulis mengenai bagaimana pendekatan Israel terhadap negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan UAE, dari segi ekonomi dan diplomasi, adalah satu 'ciuman maut' kepada perjuangan Palestin kerana ia akan menyebabkan mereka semakin terasing dan dipinggirkan dalam perjuangan mereka untuk terus hidup.

Saya berpendapat bahawa tindakan 'diplomatik' Israel untuk menjalinkan hubungan mesra dengan negara-negara Arab-Muslim setempat adalah strategi lama bagi memecahkan belahkan persatuan negara-negara Arab-Muslim untuk menjauhkan diri mereka daripada perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin sementara Israel terus melanjutkan penindasan mereka.

Walaupun merapatkan hubungan dengan jiran Arab Palestin ini, penempatan haram Yahudi terus dibangun di tanah Palestin, rumah rakyat Palestin terus dimusnahkan dan penyerbuan ke Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam, semakin kerap berlaku.

Isu-isu Palestin tidak dipedulikan dan mereka perlahan-lahan dilupakan dalam landskap baru Timur Tengah yang dibentuk oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Perjuangan Palestin adalah terlalu penting dan besar untuk diabaikan, dengan harapan ia akan hilang dan terlupakan selepas hampir 70 tahun pendudukan Israel.

Sementara Israel terus merampas tanah Palestin, meruntuhkan rumah mereka, dan membunuh mereka yang menentang kezaliman ini, Barat menganggap kebangkitan rakyat Palestin terhadap kezaliman ini sebagai tindakan keganasan dan bukan pembelaan diri. Bukankah rakyat Palestin mempunyai hak untuk membela diri dan menentukan nasib tanah air mereka sendiri?

Kekejaman dan tindakan aparteid di tanah mereka sendiri, sementara dunia dan jiran Arab mereka hanya melihat, adalah sesuatu yang tidak dapat ditanggung lagi oleh rakyat Palestin.

Apabila saudara seagama mereka terus mengabaikan penderitaan mereka dan menyisihkan mereka, saya rasa sesuatu akan berlaku dan konflik besar baru mungkin berlaku kerana pengasingan dan frustrasi mereka semakin meningkat.

Ramalan saya menjadi kenyataan, kebangkitan rakyat Palestin terjadi apabila Hamas dan Jihad Islam memutuskan untuk melancarkan serangan mendalam ke Israel.

Ratusan orang terbunuh di kedua-dua belah pihak dan warga awam dan tentera Israel dijadikan tawanan dalam serangan mengejut ke atas Israel.

Saya hairan dengan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dengan semua kebijaksanaan perisikan mereka, mereka tidak bersedia dan tidak meramalkan serangan ini.

Saya berpendapat ini berlaku kerana keangkuhan Israel dan kepercayaan berlebihan Amerika Syarikat yang menganggap mereka telah menetralkan sekutu tradisional Palestin.

Rakyat Palestin telah didorong ke sudut selama ini tanpa sebarang bantuan daripada luar yang membela mereka dan mereka terpaksa bertindak balas dan melancarkan serangan mereka cara sendirian.

Kita semua bertanggungjawab atas peristiwa yang berlaku ini dan eskalasi serangan tanpa tanding. Kita gagal membela sebab Palestin.

Rakyat Palestin telah memutuskan untuk menangani penderitaan mereka sendiri selama bertahun-tahun kerana dunia serta saudara seagama dan jiran mereka telah meninggalkan dan melupakan mereka.

Kita tidak boleh mendakwa tidak bertanggungjawab atas penderitaan panjang saudara kita ini dan pertumpahan darah yang berterusan.

Seluruh dunia telah gagal menangani isu-isu Palestin dan keadaan tragis mereka.


RAJA BAHRIN SHAH Ialah anggota Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS