Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | BN menang Pelangai, undi diraih meningkat - Rasmi

LANGSUNG | Tempoh pengundian bagi PRK Pelangai sudah berakhir dan Malaysiakini akan melaporkan keputusan tidak rasmi secara langsung.

BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelangai dengan keputusan yang lebih baik, menawarkan sedikit kelegaan selepas dipukul 'gelombang hijau' pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu.

Berikut laporan langsung Malaysiakini semasa proses pengiraan undi:



Terima kasih kerana ikuti laporan langsung Mkini

10.30 malam: Hantaran ini mengakhiri liputan langsung Malaysiakini mengenai pilihan raya kecil Pelangai. Wartawan kami di Pelangai ialah Azudin Hidzir, Seth Akmal, Haipaizi Zain dan Hariz Mohd.

Sila pertimbangkan untuk melanggan Malaysiakini dengan mengklik di sini dan menyokong media bebas dalam membantu orang ramai membuat pilihan dengan bermaklumat serta semak imbang kepada pihak berkuasa untuk bertanggungjawab.


SPR: 72.2% keluar mengundi

9.20 malam: Peratusan keluar mengundi sebanyak 72.12 peratus bersamaan dengan 11,746 jumlah undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohammad Shahid Ismail memaklumkan demikian ketika mengisytiharkan kemenangan BN.

Sebagai perbandingan, peratusan keluar mengundi bagi Pelangai pada 2022 ialah 78 peratus.

Undi rosak pula sebanyak 120 undi.


Pelangai kekal di tangan BN

9 malam: BN mengekalkan kawasan DUN Pelangai dengan 62 peratus bahagian undi, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon BN Amizar Abu Adam menang pilihan raya kecil ini dengan meraih 7,324 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasni 47 undi.

Dengan ini, Haslihelmy hilang wang deposit.

Amizar menang dengan memperoleh majoriti 2,949 undi.

Untuk rekod, Allahyarham Johari Harun menang DUN Pelangai dengan meraih sebanyak 57.7 peratus undi pada pilihan raya 2022.

BN menduduki tempat teratas di tujuh dari sembilan daerah mengundi, kecuali Felda Kemasul dan Felda Kemahal.


Peratusan pengundi tukar sokongan parti

8.15 malam: Terdapat bukti pemindahan undi yang sangat tinggi dalam kalangan penyokong PH bukan Melayu kepada BN.

Ini jelas berlaku di daerah mengundi Manchis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak, yang mana pengundi Melayu bukan majoriti.

BN menambah 1.31 peratus bahagian undi di Simpang Pelangai, dengan jumlah pengundi Melayu sebanyak 96.8 peratus.

PN pula menambah undi di semua sembilan daerah mengundi, yang menunjukkan gabungan itu mungkin telah menarik beberapa penyokong Melayu PH untuk menukar sokongan, terutama di Simpang Pelangai.

Simpang Pelangai menyaksikan perubahan terbesar ke arah PN (19.3 peratus pengundi).


BN mendahului, tinggal satu daerah mengundi

8.00 malam: Proses pengiraan undi hampir tamat dengan hanya satu daerah mengundi sahaja lagi.

BN menang di daerah mengundi Kampung Jawi-Jawi, Simpang Pelangai, Manchis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak.

Selain dua rancangan Felda yang disebut, PN turut menguasai daerah pengundian majoriti Melayu di Kampung Jawi-Jawi dan Simpang Pelangai.

Di Kampung Jawi-Jawi dan Simpang Pelangai, PN berjaya menggandakan bahagian undinya.


PN menang di dua rancangan Felda

7.45 malam: PN telah menang di daerah mengundi Felda Kemasul dan Felda Kemahal.

Di Felda Kemasul, PN mendapat 57 peratus undi, meningkat daripada 38.4 pada 2022. Di Felda Kemahal pula, PN memperoleh 50 peratus, meningkat daripada 33.6 peratus pada 2022.

Pengiraan di Felda Chemamoi, yang terbesar daripada tiga penempatan Felda di Pelangai, masih diteruskan.


Majoriti pilih BN di Telemong

7.00 malam: Pengiraan di daerah mengundi Telemong telah tamat dan kira-kira 97 peratus undi disalurkan kepada BN - menggambarkan secara dekat peratusan pengundi bukan Melayu di daerah mengundi ini.

Bagaimanapun, Kassim Samat daripada PN telah meningkatkan prestasinya di daerah mengundi ini dengan memenangi 17 undi, meningkat daripada lima pada 2022.

Telemong ialah sebuah bandar pertanian kecil yang terletak di tenggara Karak.


Pengundian lancar - Polis

6.50 petang: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang tamat pada 6 petang tadi berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.

Dalam pada itu, Yahaya dipetik Bernama berkata sepanjang 14 hari tempoh berkempen, 95 permit ceramah dan kempen telah diluluskan selain dua laporan polis diterima.


6.45 petang: Kakitangan TNB dilihat menyediakan generator elektrik di pusat penjumlahan undi.

Mereka memberitahu Malaysiakini bahawa ia sebagai persediaan jika berlaku gangguan elektrik.

Setakat ini, tiada gangguan sedemikian di Pelangai sepanjang tempoh kempen.


6.30 petang: PRK Pelangai menunjukkan kadar keluar mengundi yang tinggi dan dijangka melepasi 70 peratus.

Setakat jam empat petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kadar keluar mengundi sebanyak 69 peratus. SPR biasanya tidak memberi kemas kini kadar ini selepas empat petang.

Sebagai rujukan, kadar keluar mengundi pada PRU15 adalah 73 peratus. Ketika itu, kadar di Pelangai adalah 78.5 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS