Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serbuan SPRM: Anwar, jangan teruskan kezaliman - Muhyiddin
Diterbitkan:  Oct 7, 2023 10:51 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendakwa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) pagi semalam merupakan salah guna kuasa

“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan).

“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu,” katanya pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai di Dataran Purnama, Bentong malam tadi, lapor Free Malaysia Today.

Muhyiddin juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghentikan “kezaliman” dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.

“Anwar cukuplah. Jangan teruskan kezaliman dibuat. Berikan tumpuan menyelamatkan ekonomi negara dan beri bantuan supaya rakyat terbela,” katanya.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan dilakukan terhadap seorang peguam yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk mendapatkan semula aset 1MDB.

Azam berkata peguam itu merupakan salah seorang daripada beberapa individu yang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.

Azam tidak menamakan peguam yang sedang disiasat.

Malaysiakini sebelum ini memetik sumber yang mendedahkan bahawa 12 pegawai dari badan antirasuah itu telah melakukan serbuan terhadap firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) pagi tadi.

Rosli Dahlan, yang juga rakan kongsi RDS, merupakan peguam utama Bersatu dan Muhyiddin.

Sumber itu mendakwa pegawai SPRM menuntut hak untuk menggeledah dan merampas dokumen firma itu.

Sebelum ini, pegawai penguat kuasa juga cuba menyerbu pejabat undang-undang Chetan Jethwani & Co, yang juga mewakili Muhyiddin.

Azam berkata SPRM menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut "menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS