Pembekal beras Malaysia Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kehadiran beras plastik dalam produk mereka.
Bernas menekankan bahawa ia secara konsisten mengekalkan komitmen untuk memastikan tahap pematuhan piawaian yang tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import dan tempatan.
"Semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini.
"Bekalan beras yang dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Ini bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan yang tidak diingini," katanya.
Menjawab dakwaan "beras plastik" yang beredar di pasaran tempatan, Bernas dalam satu kenyataan hari ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beras import yang mereka edarkan adalah tulen dan selamat untuk dimakan orang ramai.
Di tengah spekulasi kekurangan beras di pasaran, video yang tular itu mendakwa terdapat sisa kelihatan seperti "plastik" dalam nasi yang dimasak.
"Bernas ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur-unsur yang mencurigakan ke atas produk beras BERNAS yang dibeli, emelkan aduan rasmi anda di [email protected].
"Pihak Bernas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan reputasi kami," katanya.