Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN makin gelabah di Pelangai, kata PAS Pahang

Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai semakin gelabah dengan gelombang penolakan pengundi di Pelangai menjelang hari pengundian esok.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kegusaran BN itu dapat dilihat selepas Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menghimpunkan semua ahli dewan undangan negeri (Adun) BN untuk menyatakan ikrar terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Ia dilakukan selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada Selasa mendakwa terdapat khabar angin ada empat Adun BN akan “melompat” selepas pilihan raya kecil (PRK) Pelangai.

"Maka semalam Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mengeluarkan kenyataan kononnya ada calon daripada PN akan 'melompat', mungkin tindak balas isu Adun BN akan 'melompat' parti.

"Kami tak perlu gelabah sampai buat ikrar pula, saya yakin bukan sahaja kami Adun PN dan rakyat tak percaya dengan kenyataan Ahmad Zahid itu, entah-entah Ahmad Zahid sendiri tak percaya apa yang dia cakap," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti bagi Adun sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.

Wan Rosdy mendakwa punca Pahang belum membentangkan dan meluluskan RUU itu adalah kerana pembangkang tidak menyokong usul itu jika dibawa ke sidang DUN.

"Sebab mereka (pembangkang) menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekalipun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga.

“Sebab kita (kerajaan) tiada dua per tiga, kita ada 25 sahaja. Untuk dua per tiga kita perlukan 28 ADUN,” katanya ketika satu program di Pelangai pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, Rosli turut mengingatkan BN bahawa kerusi Pelangai belum pernah dimenangi parti lain, selain Umno-BN sejak tahun 1986.

Katanya, senario PRK Pelangai kali ini memberi tekanan kepada BN kerana takut kalah di kerusi tradisi mereka itu.

"BN takut kalah dan PH (Pakatan Harapan) pula ingin menunjukkan bahawa gabungan mereka bersama BN dapat membantu kemenangan.

"Kalau kalah Pelangai, ertinya DAP-PH tidak ada nilai tambah, sebaliknya hanya menjadi sebab penolakan orang Melayu di Pelangai kepada BN," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS