Fenomena “Gelombang Hijau” menjadi prominen dalam PRU15 pada 19 November 2022 bila Perikatan Nasional (PN) menambah kerusi parlimen dari 30 (PAS = 18, Bersatu = 12) kepada 74.
Analisis
Kerusi BN: 79 (BN dalam PRU14) – 59 (BN + GRS + GPS dalam PRU15) = 20
Kerusi PH: 101(PH – Bersatu dalam PRU14) – 82 (PH dalam PRU15) = 19
Kerusi PN: 30 (PAS + Bersatu dlm PRU14) – 74 (PN dalam PRU15) = 44 kerusi
Ertinya, PN memenangi 20 kerusi daripada BN dan 19 kerusi daripada PH dalam PRU 15.
Ada pengulas di kalangan PH dan BN yang mendakwa penyumbang terbesar pada kemenangan besar PN dalam PRU 15 adalah wang yang disuap kepada pengundi.
Tetapi gelombang ini berterusan dalam PRN 2023 walaupun banyak akaun PN dibekukan kerana kononnya terlibat dalam penyiasatan terhadap sangkaan salah guna kuasa oleh menteri-menteri PN pada tempoh masa 2020 ke 2022.
Tetapi dalam PRN 2023, jumlah kerusi DUN yang dimenangi oleh PN di enam buah negeri bertambah dari 89 ke 146.
Di kawasan-kawasan dengan majoriti Melayu, sokongan untuk Umno, Amanah dan PKR merosot dalam PRN 2023, dan ramai pengundi mengalih ke PAS dan Bersatu.
Peralihan pengundi Melayu ke PN berterusan dalam pilihan raya kecil Pulai baru ini, sehingga sokongan Melayu untuk PH-BN dianggar antara 27% - 39%.
Untuk memahami fenomena Gelombang Hijau secara lebih mendalam kita perlu mengambil kira tiga naratif utama dalam kalangan masyarakat Melayu.
Naratif nasionalis Melayu
Naratif nasionalis Melayu menyatakan Kerajaan Persekutuan harus dikuasai oleh parti Melayu supaya hak dan kepentingan masyarakat Melayu dapat dilindungi dan dipelihara.
Analisis golongan nasionalis adalah bahawa masyarakat Melayu diabaikan dalam zaman penjajahan dan oleh itu dipinggirkan dalam ekonomi moden.
Oleh itu masyarakat Melayu memerlukan bantuan khas untuk dapat membangunkan kebolehannya dan bersaing dalam dunia moden.
Statistik dalam carta di bawah mempamerkan kedudukan kaum Melayu pada tahun 1973, yang menunjukkan bahawa kerisauan ini memang mempunyai asas.
Program-program bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membangunkan masyarakat Melayu melalui pendidikan, kuota kemasukan ke institut pengajian tinggi awam, biasiswa dan kuota pengambilan untuk jawatan kerajaan telah menambahkan nisbah Melayu dalam pekerjaan seperti doktor, peguam, jurutera, guru, pensyarah, jururawat, juru terbang dan kerja lain di ekonomi moden.
Suatu kelas pertengahan Melayu dicipta melalui bantuan khas bawah DEB dan pengwujudan kelas ini telah melegakan kerisauan masyarakat Melayu terhadap keadaan ekonomi bangsa mereka.
Tetapi walaupun adanya perkembangan positif dalam status ekonomi masyarakat Melayu dalam 67 tahun sejak kemerdekaan negara, kaum Melayu masih tertinggal dalam ekonomi negara bila dibanding dengan kaum bukan Bumiputera.
Hakikat ini adalah dipamerkan dalam dua jadual di bawah.
*Bererti 50% daripada semua pencarum Melayu mempunyai simpanan berjumlah RM16,938 ke bawah pada April 2020 sebelum skim pengeluaran wang khas kerana Covid dilaksanakan.
Bererti 50% daripada pekerja Melayu di sektor swasta formal pada bulan Mac 2023 menerima gaji RM2,200 ke bawah.
Kedua-dua set data ini menunjukkan bahawa dalam sektor formal (di mana caruman KWSP dilakukan) gaji purata pekerja Melayu adalah sangat rendah berbanding gaji purata pekerja kaum Cina.
Oleh itu simpanan KWSP pekerja Melayu juga kecil berbanding simpanan KWSP pekerja Cina dan India.
Data juga menunjukkan bahawa pekerja Cina di sektor formal mempunyai aset kewangan yang mencukupi untuk bertahan pada zaman PKP dan majoriti mereka tidak terpaksa mengeluarkan wang simpanan persaraan untuk menangani krisis pengecutan pendapatan pada zaman PKP.
Data seperti ini menjadi alasan bagi pihak-pihak nasionalis yang mendesak untuk meneruskan dan memperkasakan program untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu.
Dan mereka amat tidak setuju syor-syor untuk mengamalkan sistem “meritokrasi” dalam kemasukan pelajar ke kolej dan universiti kerana mereka risau pelajar Melayu masih tidak dapat bersaing.
Untuk menjamin polisi membantu Melayu, pihak nasionalis mengutamakan kewujudan parti politik Melayu yang boleh menguasai kerajaan supaya dana kerajaan boleh diguna untuk membantu komuniti mereka yang masih tertinggal.
Naratif mengutamakan Islam
Naratif kedua dalam masyarakat Melayu adalah bahawa jalan keluar daripada zaman penjajahan, exploitasi Barat dan kemiskinan, ke arah sebuah masyarakat yang adil dan makmur adalah melalui menegakkan Islam dan meresapkan nilai-nilai atau/dan undang-undang Islam ke dalam sistem pentadbiran negara.
Gerakan politik ini wujud bukan sahaja di Malaysia, tetapi merupakan aliran politik utama di banyak masyarakat beragama Islam dari Nigeria ke Senegal ke Tunisia ke Timur Tengah ke Iran, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh dan India ke Indonesia.
Ia merupakan sebahagian dalam arus antikolonial. Aliran politik Islam telah wujud di Malaya jauh sebelum parti PAS ditubuhkan pada tahun 1951.
Pada Mac 1947, persidangan Islam se-Malaya dianjurkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya bawah pimpinan Burhanuddin Helmi.
Setahun selepas itu, pada Mac 1948, Hizbul Muslimin ditubuhkan sebagai sebuah parti politik.
Tetapi ia diharamkan oleh British dalam beberapa bulan atas sangkaan ia mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Malaya.
Aktivis progresif zaman ini harus menerima hakikat bahawa agama Islam adalah sebahagian penting dalam identiti dan jati diri penganutnya.
Tinjauan Merdeka Center pada tahun 2022 mendapati seramai 1,216 anak muda beragama Islam yang berumur 15 hingga 25 tahun ditemu bual, mendapati lebih 80% responden berkata agama amat penting pada mereka.
Aliran politik Islam tidak seragam. Ada antara penganutnya yang mengutamakan pelaksanaan undang-undang hudud, umpamanya di Nigeria, Mali, Afghanistan, Pakistan dan Aceh di Indonesia.
Hadi Awang dan beberapa pemimpin PAS boleh disertakan dalam kumpulan ini.
Ada juga Islamis yang berpegang kepada maqqassid syariah yang bermakna mereka mahu meresapkam nilai-nilai Islam termasuk keadilan, inklusiviti, kebajikan kepada semua rakyat dan sikap mesra alam ke dalam sistem pentadbiran negara.
Pendekatan ini boleh dilihat dalam Parti Ennahda di Tunisia, Amanah di Malaysia dan juga gerakan seperti Abim dan Ikram.
Malangnya gerakan progresif ini sangat lemah di peringkat akar umbi di Malaysia. PAS jauh lebih aktif.
Penglibatan CIA dan kumpulan risikan Barat lain memainkan peranan utama dalam memupuk dan menghasut puak-puak Islamis yang cenderung menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat.
Kumpulan-kumpulan sebegini biasanya diperalatkan oleh Barat untuk mensabotaj dan, jika boleh, menggulingkan rejim yang berkecuali ataupun pro-Soviet dalam Perang Dingin (1960 – 1990).
Tetapi lama kelamaan puak-puak ini membebaskan diri daripada sponsor Barat mereka dan kini merupakan satu komponen yang kuat dan berbahaya dalam gerakan Islamis di beberapa negara.
Ada juga ahli falsafah seperti Ali Syariati di Iran yang menggunakan analisis Marxist sebagai alat untuk menganalisis masyarakat dan sebagai pedoman untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam.
Naratif kelas
Masyarakat Melayu telah mengalami banyak perubahan sejak kemerdekaan negara.
Pada 1957, lebih kurang 90% daripada masyarakat Melayu berada di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai pesawah, pekebun getah, nelayan dan “kerja kampung”.
Sekarang, hampir 80% daripada populasi Melayu berada di bandar.
Hanya lebih kurang satu juta orang Melayu ataupun 10% daripada Melayu dalam pasaran kerja bekerja sebagai petani dan nelayan.
Ketika merdeka, selain daripada kakitangan kerajaan, askar dan polis, tidak ramai orang Melayu yang bekerja untuk gaji di sektor formal.
Sekarang, pekerja formal di sektor swasta, lebih kurang empat juta orang, ataupun 40% daripada tenaga kerjanya Melayu.
Dan pekerja tidak formal adalah lebih kurang satu juta orang dan peniaga kecil juga berjumah satu juta ke atas.
Kakitangan kerajaan pula berjumlah 1.6 juta ataupun 16% daripada tenaga kerja orang Melayu.
Gambar rajah di atas memberi gambaran kasar terhadap perubahan dalam pekerjaan orang Melayu dari tahun 1957 hingga ke sekarang.
Kesimpulannya masyarakat Melayu berubah menjadi masyarakat yang majoritinya duduk di bandar dan kebanyakan mereka adalah pekerja – di sektor swasta, di sektor bukan formal dan sebagai kakitangan kerajaan.
Sebilangan besar (mungkin 10% daripada semua Melayu di pasaran kerja) adalah peniaga kecil.
Sebagai pekerja dan peniaga di bandar mereka terdedah kepada kesan negatif polisi-polisi neoliberal yang mana kos hidup melambung naik – makanan, penginapan, rawatan perubatan, pendidikan anak-anak - tetapi gaji mereka tetap di tahap yang amat rendah.
Pada masa yang sama, mereka juga terdedah kepada kekayaan lapisan Melayu yang kaya raya – ahli politik, kaum profesional, pengurus dan CEO syarikat GLC, kontraktor-kontrak besar – dan mereka menyaksi dengan mata sendiri betapa mewah kehidupan kaum atasan Melayu ini.
B40 and M40 Melayu di bandar juga sedar berkaitan amalan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan elit Melayu.
Kesemua ini menjana persepsi kelas yang ramai pekerja Melayu dan peniaga kecil rasa tidak puas dengan caranya segelintir kecil Melayu hidup mewah tetapi orang ramai dicabar oleh harga barang yang sering naik, gaji tidak mencukupi dan hutang yang semakin membebankan.
Inilah persepsi yang menarik ramai orang Melayu untuk menyertai gerakan Reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Pencetus Gelombang Hijau
Daripada semua yang dihurai di atas, boleh disimpulkan bahawa ramai pengundi Melayu berkata kepada PN sekarang kerana:
- Mereka muak dengan paras rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin Umno. Ini adalah satu aspek positif dalam gelombang politik ini.
- Mereka tidak lagi percaya PKR dan Amanah boleh menjaga “kepentingan” masyarakat Melayu selepas pengalaman mereka dalam tempoh Mei 2018 – Februari 2020 kerana beberapa langkah diambil oleh kerajaan PH kali pertama telah menjejaskan kepentingan Melayu.
- Mereka terasa lebih yakin terhadap PN yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu kerana ia merupakan gabungan parti-parti nasionalis dan Islam.
Implikasi Gelombang Hijau
Gelombang ini menunjukkan bahawa penting to get it right the first time. Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu (lebih kurang 25%) sedia meletakkan kepercayaan mereka kepada PH pada tahun 2018. PH memenangi majoriti muda pada masa itu – 113 kerusi parlimen dalam PRU14. Tetapi kerajaan Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng telah melakukan kesilapan yang mengecewakan dan menakutkan masyarakat Melayu dan oleh itu PH sekarang ditolak oleh pengundi Melayu.
Gelombang Hijau ini tidak sebegitu “hijau” walaupun wujudnya unsur-unsur Islamis dalamnya. Gambarannya sebagai “hijau” adalah sebahagian strategi PH untuk menakutkan penyokongnya supaya mereka keluar mengundi.
Jikalau Anwar dan PH tidak mengambil langkah tegas untuk merespon pada naratif ketiga yang dihuraikan di atas, dan membukti secara jelas bahawa Kerajaan Perpaduan sanggup melaksanakan polisi dan program untuk membantu masyarakat B40 dan M40, PH-BN akan hilang lebih banyak kerusi kepada PN dalam PRU16. Malangnya PH berpendirian bahawa program untuk membantu rakyat B40 terpaksa ditangguh sehingga defisit negara diturunkan kepada 3% KDNK.
Strategi bergantung pada Umno untuk menarik balik pengundi Melayu tidak akan berhasil selama Zahid Hamidi memegang jawatan presiden Umno. Ia dipandang sebagai orang yang terpalit dengan kes rasuah dan kehadirannya akan terus mendorong pengundi Melayu untuk memilih PN.
Ada kemungkinannya bahawa PN akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU16.
JEYAKUMAR DEVARAJ ialah pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.