Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno syor penjara, rotan ke atas pemanipulasi bekalan beras
Diterbitkan:  Oct 5, 2023 5:49 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kerajaan disaran menilai semula hukuman yang perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak atau kartel yang 'mengkhianati' subsidi diberikan kepada rakyat dengan memanipulasi bekalan beras dalam negara.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata hukuman lebih berat seperti sebatan atau penjara sewajarnya dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab supaya ia dapat memberi pengajaran kepada pihak lain.

"Jika kita lihat hukuman paling tinggi yang ada pada hari ini ialah sekadar kompaun dan ia masih mampu dibayar mereka walaupun denda dikenakan mencecah RM100,000 jika melakukan kesalahan tersebut.

"Tindakan ini bukanlah semata-mata untuk menghukum, namun lebih kepada memberi peringatan kepada mereka agar jangan ada yang berani mengambil kesempatan dengan mengkhianati subsidi sedangkan rakyat tertekan dan sukar mendapatkan bekalan beras," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa di Durian Tunggal, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Dalam pada itu, Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata Melaka telah mendapat tambahan sebanyak 300 tan metrik beras tempatan dan baki 200 tan metrik akan diterima selewat-lewatnya pada minggu depan.

Beliau berkata pada minggu ini juga bekalan beras tempatan akan dijual di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) selain pasar raya dan kedai runcit di negeri bagi memudahkan rakyat mendapatkan bekalan.

“Tiada pembelian panik berlaku di Melaka kerana kalau kita lihat bekalan beras tempatan pun sukar didapati, cuma saya minta rakyat Melaka tidak membeli beras dalam kuantiti banyak dan saya rasa 10 kilogram itu cukup untuk menampung dalam tempoh seminggu, selain memberi peluang kepada orang lain untuk membeli sama," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS