Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amizar: Jangan terlalu yakin pengundi luar bersama PN

Jangan terlalu yakin yang pengundi luar di DUN Pelangai akan memihak sepenuhnya kepada Perikatan Nasional (PN), kata calon BN, Amizar Abu Adam.

Jelasnya, BN juga mempunyai strategi untuk menangani pengundi luar dan yakin mereka akan memihak kepadanya.

Bagaimanapun Amizar menitipkan pesanan kepada pengundi luar supaya memikirkan nasib warga Pelangai.

"Jangan terlalu yang pengundi luar semua kepada mereka. Kita pun ada cara kita dan kita pun ada cara nak menyelesaikan pengundi luar ni.

"Namun yang penting pengundi luar kena faham, dia sudah lepas dah mengundi dia balik. Yang tinggal mak ayah dia dan kawan-kawan dia.

"Siapa yang nak bantu, dia duduk kat luar, yang duduk sini kawan-kawan, ibu, kalau ada masalah siapa menanggung? Pengundi luar kena faham kalau dia undi BN lagi bagus," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Felda Kemahal, dekat Bentong, hari ini.

Kepada anak-anak Felda, Amizar mengingatkan mereka supaya tidak lupa jasa Felda kepada mereka.

Ditanya mengenai kehadiran pemimpin utama PN esok termasuk Dr Mahathir Mohamad bagi berkempen saat akhir, Amizar berkata dia mengalu-alukan kehadiran mereka dan berharap ia dapat membantu ekonomi masyarakat tempatan di Pelangai.

"Negara demokrasi sesiapa pun nak datang... sekurang-kurangnya ekonomi masyarakat Pelangai naik. Datanglah ramai-ramai ke Pelangai.

"Mungkin dia (PN) nak bagi sedekah-sedekah dia kat sini, alhamdulillah. Datanglah beramai-ramai," katanya lagi.

PRK DUN Pelangai akan berlangsung Sabtu ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS