Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rombakan kabinet: Tak payah sibuk beritahu PM apa perlu dibuat

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menasihatkan MCA supaya berhenti daripada cuba mengajar perdana menteri tentang cara menjalankan tugasnya mengenai cadangan rombakan kabinet.

Bercakap kepada pemberita malam tadi, Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata rombakan kabinet adalah hak prerogatif perdana menteri dan ini harus dihormati.

“Saya rasa tak perlu la kita sibuk-sibuk beritahu PM apa perlu dibuat.

“Rombakan kabinet ini kalau pun ada, (ia) kuasa prerogatif PM.

“Setakat hari ni PM tidak ada bagi apa-apa maklumat pun, malah mesyuarat kabinet hari ini pun langsung tak sentuh rombakan kabinet,” katanya ketika ditemui di Telemong, Bentong.

Loke berada di sana untuk berkempen bagi calon BN Amizar Abu Adam, yang bertanding di kerusi DUN Pelangai. Dia ditentang oleh calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Dia diminta mengulas kenyataan jurucakap MCA, Mike Chong dua hari lalu, yang mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggugurkan beberapa anggota kabinet ketika spekulasi bertiup mengenai rombakan kabinet.

Antara lain, MCA mencadangkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming digugurkan daripada barisan kabinet kerana terus bertindak seperti ahli politik pembangkang walaupun kini menjadi menteri kerajaan.

Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati setiausaha politik Nga, Chiong Yoke Kong, yang kemudian menggesa MCA untuk meninggalkan kerajaan.

Mike Chong

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Loke menganggap kenyataan Chiong sebagai pendapat peribadi, dan katanya, DAP berpegang kepada semangat kerajaan perpaduan.

“Bagi kita dalam DAP, kita tidak minta mana-mana pihak masuk atau keluar. Ini telah dibentuk atas semangat kerajaan perpaduan. Kerajaan perpaduan hari ni terbentuk lepas PRU-15 lalu atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi yang berada dalam kerajaan hari ini mesti komited kepada kestabilan politik dan kerajaan hari ini.

“Yang penting hari ini kita nak perkuatkan kerajaan, negara kita dapat stabil, kerajaan kita kukuh jadi saya rasa ini yang kita perlu titikberatkan. Soal-soal lain, itu pandangan masing-masing,” katanya.

Howard Lee berjumpa dengan Menteri Agama, Mohd Na'im Mokhtar

Sementara itu, mengenai kemelut yang melibatkan ahli parlimen Ipoh Timor, Howard Lee kerana didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat-ayat al-Quran, Loke berkata DAP mengambil kejadian itu sebagai pengajaran.

“Kita ingatkan mana-mana pemimpin DAP supaya lebih berhati-hati, tak payah la kita guna ungkapan-ungkapan daripada ayat-ayat kitab suci dan mengelak daripada memetik mana-mana kitab suci dalam ucapan mereka.

“Kita fokus pada kerja kita, dasar kita, pencapaian kita, pastikan kita boleh sampaikan pada rakyat, ini yg akan disanjung dan akan diberi sokongan oleh pengundi.

“(Kejadian) itu memang satu pengajaran, dan saya yakin Howard telah terima nasihat daripada pelbagai pihak termasuk menteri agama dan beliau telah pun memohon maaf secara terbuka,” kata Loke.

Bagaimanapun, setiausaha agung DAP itu percaya pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN) akan terus mengeksploitasi kejadian itu semasa pilihan raya Pelangai.

“Tapi saya nak katakan hari ini PRK ini bukan memilih Howard Lee. Pilihan raya kecil ini adalah untuk memilih calon daripada BN dan Umno, untuk menggantikan (bekas) Adun kawasan ini.

“Dan mestilah Adun dipilih itu yang boleh berikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Jadi saya harap pengundi-pengundi di Pelangai ni akan terus beri sokongan kepada calon kerajaan perpaduan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS