Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin menafikan hubungannya dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tegang.

Jelasnya tidak wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

"Kalau Muhyiddin tidak suka saya, dia pecat saya sebagai setiausaha agung tapi adakah itu berlaku?

"Saya setiausaha agung, Tan Sri (Muhyiddin) adalah presiden, dia lantik saya sebagai setiausaha parti.

"Kalau tidak suka dia, saya berhenti. Kalau dia tidak suka saya, dia pecat saya, adakah itu berlaku?" katanya ketika ditemui selepas ceramah mega di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, dekat Bentong, malam tadi

Ceramah tersebut dihadiri kira-kira 200 hadirin.

Turut serta pada majlis itu, Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu pernah menafikan yang Muhyiddin dan Hamzah bertelagah seperti dilaporkan sesetengah portal berita.

Ahmad Faizal berkata dakwaan yang memetik sumber itu laporan yang berniat jahat.

"Orang lain buat cerita dan kami baik sahaja, buat kerja dan semua berkempen pilihan raya,” kata Hamzah lagi.

Ada pihak buat ugutan

Sementara itu, Hamzah mendakwa ada pihak membuat ugutan terhadap rakannya dalam PN serta pengundi yang ingin menghadiri ceramah anjuran parti itu.

Bagaimanapun Hamzah tidak mengemukakan sebarang bukti berhubung tuduhannya itu.

"Ya saya dengar kata tadi (malam tadi) daripada rakan-rakan yang kata takut (kerana menerima) bermacam-macam ugutan.

"Pada saya ini (berkempen dan berceramah) adalah amalan demokrasi. Tak payah nak ugut sesiapa. Sebab itu bila rakan-rakan sebut, saya sambung tak payah nak takut. Apa nak ditakutkan. Tak tahulah siapa.

"Tetapi itu yang saya dengar tadi. Sebab itu saya merasakan bahawa yang penting pada kita adalah amalan demokrasi ini diteruskan secara baik, berikan kebebasan kepada sesiapa saja yang nak bersuara, sesiapa saja nak tentukan siapa nak jadi wakil dia. Itu adalah hak mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS