Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pemilihan 'top 5': Sejauh mana kestabilan terjamin dalam PAS?

Penganalisis politik melihat ketiadaan pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS merupakan langkah parti itu dalam mengelak mudarat yang berkemungkinan boleh mencetuskan krisis dalaman.

Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata secara tradisi jawatan tertinggi PAS tidak ditandingi melainkan berlaku situasi luar biasa.

"Tradisinya begitu (tiada pemilihan jawatan tertinggi), melainkan keadaan luar biasa. Dalam keadaan PAS tidak ada krisis, wala atau ketaatan kepada kepimpinan adalah keutamaan.

"Sekiranya ada di kalangan pemimpin tertinggi berundur, atau pergeseran tertentu barulah berlaku pertandingan seperti mana pada tahun 2015 yang kemudiannya disusuli dengan perpecahan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan PAS tidak demokratik susulan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi parti itu dalam muktamar yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan tiada pertandingan berlangsung untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Justeru, lima pemimpin tertinggi PAS kekal menerajui parti itu untuk tempoh dua tahun lagi apabila semua mereka tidak dicabar mana-mana calon dalam pemilihan kali ini.

Selain itu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan antara individu yang menolak untuk dinamakan sebagai calon bagi jawatan naib presiden pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-69 itu.

Menteri besar Kedah itu merasakan dirinya belum cukup layak untuk memegang jawatan tersebut dan lebih selesa menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja.

Sementara itu Mazlan berkata, ketiadaan pemilihan jawatan utama itu juga berkemungkinan disebabkan PAS beranggapan tiada keperluan untuk berbuat sedemikian.

"Salah satu sebab kerana kemungkinan dalam mood untuk kuatkan parti, dianggap tiada keperluan, dalam PAS mereka lebih penting kestabilan parti.

"Melainkan sekiranya Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) berundur mungkin baru berlaku pemilihan baru. Ia bukan soal tak ada demokrasi dalam parti, kerana kadang-kadang demokrasi juga boleh membebankan dan memudaratkan parti.

"Ia menunjukkan kompromi dalam PAS untuk pastikan kestabilan, untuk buat pengukuhan parti, sehingga berlaku pengunduran presiden dan lain-lain yang perlu diisi dengan pengganti baru," katanya.

Dalam perkembangan sama penganalisis politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza) Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan, tidak timbul soal mematikan demokrasi atau sebaliknya apabila tiada percalonan pada Mutamar PAS akan datang.

Pertandingan dibuka cuma calon tarik diri

Katanya, berdasarkan penjelasan setiausaha agung PAS, jelas terdapat penarikan diri daripada Sanusi yang dicalonkan sebagai naib presiden.

"Ini bermaksud percalonan dibuka sepenuhnya untuk mana-mana yang berkelayakan bertanding dalam jawatan tertinggi tetapi tiada percalonan diketengahkan dan ada pemimpin yang menarik diri.

"Perlu diketahui bahawa PAS sejak penubuhannya masih mengamalkan demokrasi terbuka dalam pemilihan dan tiada kes yang diketengahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyalahi mana-mana peraturan atau perlembagaan parti dalam soal pemilihan," tegasnya ketika dihubungi.

Ditanya adakah keadaan itu menunjukkan PAS lebih sepakat dalam memastikan keutuhan kepimpinan dan parti, Hussain berkata, kerjasama PAS dalam Perikatan Nasional (PN) menyaksikan bahawa kepimpinan sedia ada masih relevan dan bersikap terbuka dalam jalinan hubungan strategik untuk kelangsungan politik pada masa kini.

"Sokongan ahli parti dan rakyat Malaysia khususnya boleh menerima kepimpinan PAS sehingga mendapat kemenangan 40 lebih kerusi Parlimen mengalahkan Umno yang sebelum ini mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu.

"Saya juga melihat ketokohan pimpinan tertinggi PAS pada masa kini mengamalkan politik yang matang dengan mengimbangi antara ulama dan tenokrat yang semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia khususnya dalam usaha sama kepelbagaian parti-parti politik.

"Kemampuan PAS (dan PN) terbukti selepas meraih kemenangan besar di Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan. Ia memberi isyarat langsung senario politik bahawa PAS dan kepimpinan tertinggi masih mendapat kepercayaan penuh daripada ahli dan rakyat khususnya," katanya yang juga pensyarah Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS