Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu kekal konsisten dengan pendiriannya untuk tidak menceburi bidang perlombongan nadir bumi (REE) sebagai sumber pendapatan yang baru.
Ini di sebalik, kerajaan negeri dimaklumkan bahan mineral itu terdapat di negeri tersebut.
Katanya, walaupun kerajaan persekutuan kini membenarkan kerajaan negeri membuat penerokaan awal REE, kerajaan Selangor konsisten dengan keputusan sama yang dibuat sejak 2017 dan masih belum berminat untuk tujuan sedemikian.
“Itu ada dua perkara. Yang semalam adalah SOP (prosedur operasi standard) kalau kita ingin mengadakan penerokaan nadir bumi.
“Tetapi dasar kerajaan negeri sejak 2016-2017 adalah konsisten, kita belum ada minat dan niat untuk menerokai nadir bumi.
“Tetapi SOP tetap kena buat kalau nak teroka, kalau ada cubaan (untuk meneroka REE) kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Negara, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad semalam bahawa kerajaan negeri kini dibenarkan menjalankan penerokaan awal REE, mengikut SOP sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) pada Isnin lalu.
Ini ketika siasatan SPRM sedang dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung dakwaan rasuah dalam isu perlombongan REE di Sik.
Pada Jun lalu, Nik Nazmi memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa jabatan mineral dan geosains telah menemui 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia dengan nilai pasaran lebih RM809.6 bilion.
Menurutnya, jabatan itu juga telah mengenal pasti 29 kawasan berpotensi strategik untuk NR-REE iaitu di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Sementara itu, Amirudin berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dan pembentangan Belanjawan 2024 negeri itu dijangka diadakan pada pertengahan November ini, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.