Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim jelaskan alasan Dr M bukan Muhyiddin jadi penasihat SG4
  • Dikemas kini dengan penjelasan presiden Perkasa.

Perikatan Nasional (PN) melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat di empat negeri bagi mendapatkan pengaruh bekas perdana menteri itu, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin merupakan sebahagian daripada pemimpin gabungan itu dan ini merupakan sebab dia tidak dilantik sebagai penasihat.

"Sebenarnya Tan Sri Muhyiddin Yassin ini memang dah sebahagian daripada kita.

"Tak lantik pun tak apa, sebab dah sebahagian daripada kita. Jadi apa-apa kita bincang, sentiasa bersama kita

"Cuma kita ambil Tun M, sebenarnya ada faktor-faktor lain. Ada faktor yang tersurat dan tersirat

"Kita nak seramai mungkin orang bersama dengan kita. Setiap orang tu ada dia punya penyokong dia, pengikut dia. Jadi orang yang berpengaruh begini kalau boleh bersama kita, dia akan membina satu gelombang, walau besar atau kecil,” katanya ketika sesi dialog bersama beberapa NGO awal petang tadi.

Tuan Ibrahim mengulas cadangan Perkasa supaya PN melantik Muhyiddin sebagai penasihat di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, bukannya Dr Mahathir.

Keempat-empat negeri itu dimenangi oleh PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 dan pilihan raya negeri baru-baru ini dan dipimpin oleh Menteri Besar daripada PAS.

Gabungan itu baru-baru ini melantik Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi empat kerajaan negeri yang digelar sebagai State-Goverment 4‘ atau SG4.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tuan Ibrahim yang juga ketua pembangkang Pahang berkata tidak timbul isu PAS cuba menyokong Mahathir secara politik atau meminggirkan Muhyiddin.

Dia berkata Mahathir telah menyatakan yang dia hanya mahu menyumbang dan tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Tun pun tak nak bertanding dah. Dia sebut dia pun tak mahu (bertanding pilihan raya). Cuma dia kata dengan baki-baki dia apa saya boleh sumbang," kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu pemberita bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan pelantikan Mahathir sebagai penasihat SG4.

Presiden Bersatu itu berkata keputusan itu dibuat oleh PN di empat negeri dan dia juga menyokong langkah itu.

"Keputusan itu telah dibuat PN terutama di 4 negeri. Mungkin melihat Tun M adalah tokoh negarawan yang cukup berpengalaman, boleh memberi nasihat.

“Saya menyokong langkah itu dan kita harap empat negeri itu akan menjadi satu wilayah pertumbuhan yang lebih pesat selepas daripada ini,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan daripada Perkasa agar dia dilantik sebagai penasihat, Muhyiddin menolak cadangan itu.

"Tak apa. Saya pun dalam PN. Kita bila-bila masa saja diperlukan untuk membantu mana-mana buah negeri terutama di bawah PN, saya bersedia," katanya.

Saya sebut ‘juga’, kata presiden Perkasa

Sementara itu, Presiden Perkasa Syed Hasan Syed Ali menafikan dia mencadangkan Mahathir digantikan dengan Muhyiddin.

Dia sebaliknya berkata mencadangkan supaya Muhyiddin turut dilantik sebagai penasihat bersama Mahathir, lapor Malaya Daily.

Dia berkata ada menggunakan perkataan “juga” ketika membuat cadangan itu, yang bermaksud Muhyiddin harus turut dilantik sama, di samping Mahathir.

Bagaimanapun, berdasarkan semakan terhadap rakaman video, bahagian itu tidak kedengaran dengan jelas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS