Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aduan jalan rosak menerusi aplikasi meningkat 10 kali ganda
Diterbitkan:  Oct 3, 2023 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Aduan kerosakan jalan raya yang diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi aplikasi MYJalan sejak ia dilancarkan Ogos lalu selari dengan kempen MY Jalan, meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia merupakan satu perkembangan yang baik dan menjadi bukti keprihatinan rakyat serta usaha proaktif kerajaan dalam memastikan infrastruktur jalan di negara ini dalam keadaan baik dan selamat.

Beliau berkata pengalaman Malaysia berhubung keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya itu antara yang dikongsi pada Kongres Jalan Sedunia ke-27, anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) berlangsung di Prague, Republik Czech sejak semalam sehingga 6 Okt ini.

"Dalam ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Presiden PIARC Nazir Alli di kongres ini, beliau menegaskan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan ini tentunya selari dengan semangat yang diangkat di dalam kempen MYJalan.

"Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Alexander Nanta Linggi

Kempen ini juga, katanya selaras dengan strategi Wawasan Sifar (Vision Zero) yang diperkenalkan Sweden dan diimplementasikan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia serta Kesatuan Eropah (EU) sejak 2019 untuk memastikan generasi akan datang mempunyai pemikiran bahawa ‘kemalangan boleh dicegah dan setiap kematian dalam kemalangan tidak boleh diterima’.

"Kempen ini juga bertindak sebagai usaha kolektif dan platform advokasi dalam mendidik pengguna jalan raya mengenai penyelenggaraan jalan.

"Aktiviti penyelenggaraan jalan adalah penting untuk mengawal kadar kerosakan dan memastikan perkhidmatan jalan berada pada tahap terbaik, seterusnya menjamin keselesaan dan keselamatan semua pihak," katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama, KKR akan berusaha menambah baik saluran aduan pengguna menerusi aplikasi MYJalan sebagai sistem pemantauan penyelenggaraan jalan sekali gus mengatasi isu kritikal yang sering dihadapi pengguna, terutama jalan rosak atau berlubang.

Dalam persidangan yang sama, Nanta turut berkongsi tentang beberapa perkara termasuk komitmen Malaysia untuk mengimplementasikan Pelan Global Dekad Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021–2030.

Turut diketengahkan ialah inisiatif Pusat Penyelidikan Pengangkutan di Universiti Malaya yang telah memperkenalkan program sarjana baharu melalui kerja kursus, Sarjana Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya yang dilihat relevan dengan keperluan semasa negara dalam menangani isu keselamatan jalan raya.

Bertemakan ‘Together On The Road Again’, Kongres Jalan Sedunia ke-27 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Czech Republic Petr Fiala dan Presiden Senat Czech Milos Vystrcil, disertai lebih 22 negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS