Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengharaman komik: Kebebasan mesti bersama tanggungjawab - kartunis

Hak kebebasan bersuara merupakan hak asasi setiap insan namun ianya perlu wujud bersama dengan tanggungjawab, kata kartunis Ahmad Noor Amin atau dikenali sebagai Amin Landak.

Dia mengulas isu buku komik When I Was A Kid 3 terbit pada 2014 sebelum KDN mengharamkan karya Cheeming Boey itu baru-baru ini.

"Atas dasar prinsip saya tidak menyokong pengharaman buku kerana kita perlu bebas bersuara, berekspresi dan berkarya, walaupun mungkin ia tidak disukai sesetengah pihak.

"Namun, kebebasan perlu wujud bersama dengan tanggungjawab.

"Walaupun, takrif kebebasan tidak terletak di tangan pemerintah, kebebasan secara amnya tidak bererti memfitnah dan mempromosikan keganasan serta perkauman," katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penjualan buku novel grafik bertajuk 'When I Was A Kid 3' selepas terdapat bantahan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia.

Penulisnya Cheeming Boey, 45 warganegara Malaysia dilahirkan di Singapura dan bermastautin di Amerika Syarikat menceritakan mengenai zaman kanak-kanaknya.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan buku yang sudah beredar hampir sedekad lalu itu mengandungi bahan yang 'berkemungkinan memberi prejudis kepada moral'.

KDN mengarahkan penjualannya dihentikan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang berkuat kuasa 15 September lalu.

Pada Jun lalu, NGO Corong Rakyat (gambar, atas) mengepalai bantahan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta terhadap penerbitan buku itu.

Penunjuk perasaan membangkitkan terdapat bahagian dalam buku terbabit yang menggambarkan seorang pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia sebagai monyet kerana kepantasannya memanjat pokok kelapa.

Hormati pekerja asing

Amin juga berkata keterlaluan jika benar pengkarya itu menyamakan pekerja asing di Malaysia sebagai monyet.

"Jika benar ada komik menyuarakan karya yang menyamakan pekerja negara asing di Malaysia sebagai monyet, ia adalah keterlaluan.

"Pekerja asing datang atas jemputan kerajaan kita, jadi mereka perlu dihormati.

"Malah, seperti pekerja tidak mahir Malaysia sendiri, mereka sering dieksploitasi dan ditekan.

"Sesiapa yang berkarya seperti ini harus meminta maaf, dan semua pengkarya perlu lebih sensitif dan bertanggungjawab," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Cheeming Boey memohon maaf kepada pihak-pihak yang merasa tersinggung kerana gambaran monyet di dalam komik itu.

Boey berkata bukan niatnya untuk memburukkan pekerja warga asing tetapi untuk memuji kemahiran amah keluarganya memanjat pokok kelapa.

Peka ketika berkarya

Sementara itu, seorang lagi kartunis Ronasina (gambar, atas) berkata pengharaman buku satu pengajaran kepada semua pihak.

"Sepintas lalu bila kita baca kartun tersebut pasti pihak yang dimaksudkan, dalam konteks ini warga Indonesia akan tersinggung dan berasa terhina.

"Meskipun benar Cheeming Boey menjelaskan dia tidak bermaksud sedemikian tetapi 'kecuaian' ini telah dilakukan walaupun ia mengambil masa sembilan tahun," katanya yang pernah menjadi editor Majalah Gila-Gila dari 2016 ke 2019.

Ronasina atau nama sebenarnya Mohd Afandi Ramli menegaskan soal kaum, agama atau warga terpinggir seperti OKU atau pekerja asing bukanlah bahan lawak jenaka.

"Imej bersongkok misalnya tak boleh dibuat jenaka untuk kartun ponteng puasa, imej kaum Cina dan India juga tak boleh dilihat negatif seperti kaki botol atau kaki judi.

"Namun, pujian harus diberikan kepada Cheeming Boey yang akur dan meminta maaf," katanya.

"Untuk kes Cheeming Boey, ia suatu pelajaran agar lebih peka ketika berkarya.

"Mesti bijak mencari kaedah yang tidak melukakan mana-mana pihak. Tetapi, sikap dia yang minta maaf, wajar dipuji," jelasnya lagi.

Bukan menghina

Ketika dihubungi, Boey berkata dia tidak menyangka percubaannya untuk menunjukkan kebolehan luar biasa amah keluarganya itu akan menimbulkan reaksi negatif.

Cheeming Boey

"Kalau saya tahu ia akan menyebabkan reaksi ini, saya akan menggunakan perkataan yang lebih baik," katanya kepada Malaysiakini melalui WhatsApp.

Katanya, dia tidak diberikan peluang untuk membela diri sebelum bukunya diharamkan.

Malah, tambah Boey, rasa kagum dirinya dan bapanya ditunjukkan di tingkap ketujuh komik tersebut "bila kami berdua berkata 'Wah'".

"Ia bukan komen menghina. Menjadi kebiasaan untuk kita menggambarkan kebolehan luar biasa seorang manusia dengan membandingkannya dengan haiwan.

"Kalau saya kata dia garang seperti harimau, adakah saya kata dia seekor harimau?

"Jadi untuk kebolehan memanjat pokok, (perbandingannya adalah kepada) monyet, tapi ini tak bermaksud orang tu adalah monyet," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS