Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: 'Sekolah hanya ditutup jika disaran Kementerian Kesihatan'

Sekolah hanya akan ditutup ekoran masalah jerebu jika ada cadangan atau nasihat daripada Kementerian Kesihatan, kata Menteri Pendidikan Fahdlina Sidek.

Fadhlina berkata buat masa ini Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan garis panduan sedia ada berkaitan pengoperasian sekolah jika situasi jerebu semakin buruk di negara ini.

"Kita memang dah ada garis panduan kita, dan kita kekal dengan garis panduan tersebut.

"Kita minta semua sekolah patuhi garis panduan tersebut. Maknanya kalau (bacaan) IPU (indeks pencemaran udara) lebih daripada 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan.

"Kita akan bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa... berkaitan dengan cadangan atau nasihat seperti menutup (sekolah) atau memakai pelitup muka," katanya ketika ditemui media di majlis penutup Mahrajan Al-Quran Sekolah KPM peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang hari ini.

Minggu lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran Malaysia mungkin berdepan masalah jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat.

Ketua pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata situasi itu dijangka berlaku susulan ramalan cuaca lebih kering ekoran fenomena El Nino yang berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Malaysia pernah mengalami kejadian jerebu teruk hingga kerajaan terpaksa mengumumkan darurat.

Antaranya pada tahun 1997 apabila IPU di Sarawak melebihi paras bahaya susulan kebakaran hutan dan kawasan perladangan di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.

Selain itu, pada Ogos 2005, darurat alam sekitar sekali lagi diisytiharkan membabitkan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang apabila masing-masing mencatatkan bacaan IPU melebihi tahap kecemasan 521 dan 529.

Pada 2013 pula, sekurang-kurangnya enam negara di Asia Tenggara terjejas susulan krisis jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan isu kekurangan guru dialami ketika ini adalah bersifat sementara.

Dia berkata usaha untuk mengatasi masalah itu sudah dilakukan melalui pengambilan secara 'one-off' selain proses pengambilan secara kontrak untuk jawatan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS