Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan lagi 'deposit tetap' - Persaingan sengit BN dan PN di Felda Pelangai

PRK PELANGAI | Di Kampung Chemomoi, kira-kira 3,000 penduduk menikmati kesenangan hidup seperti yang telah dijanjikan kepada mereka ketika pentadbiran Allahyarham Abdul Razak Hussein.

Boleh dikatakan mereka hidup senang hasil rancangan tanah Felda, yang menyediakan setiap keperluan asas yang diperlukan untuk kehidupan yang baik. Justeru ramai yang "membalas jasa" dengan mengundi BN sejak dulu.

Ini semua berubah pada 2022, apabila 46.4 peratus pengundi di pusat daerah mengundi (PDM) Felda Chemomoi memilih PN.

Ini bukan kes terpencil. Felda Sungai Kemasul dan Felda Sungai Kemahal yang terletak bersebelahan turut menyaksikan persaingan sengit antara BN dengan PN. Sejumlah penduduk yang ditemui Malaysiakini maklum dengan perkara ini.

Kalangan yang sudah lama tidak berpuas hati dengan BN akhirnya ada pesaing yang berbaloi untuk membuatkan mereka mengalihkan "deposit tetap" mereka. Istilah itu digunakan ramai pemimpin BN sebelum ini untuk menyatakan betapa setia peneroka Felda, termasuk generasi ketiga, terhadap gabungan itu.

"Cikgu Kasim (calon PN Kasim Samat) ada pengikutnya sendiri. Ia termasuk penduduk veteran Felda yang mengundinya pada PRU lalu.

"Apa yang kami bimbang sekarang adalah generasi lebih muda, yang ramainya pengundi luar.

"Kami jangka majoriti yang dimenangi arwah (bekas Adun Pelangai Allahyarham Johari Harun) mungkin dikurangkan kali ini, dengan lebih ramai memilih PN," kata Ismahadzir Mohd.

Kasim Samat

Ismahadzir, 42, adalah peneroka generasi kedua di Felda Sungai Kemahal yang menyokong BN.

Memandangkan komuniti Felda mempunyai hubungan yang rapat, sukar untuk mereka menyembunyikan kecenderungan politik.

Menurut penduduk yang ditemui, sementara majoriti yang memang tinggal di felda masih setia dengan BN, generasi muda yang tinggal di bandar tidak.

Presiden NGO Kami Anak Felda Azmi Mohammad berkata data pengundian menunjukkan pengundi lebih muda yang memacu peralihan sokongan terhadap PN dan tidak berminat dengan sebarang pembangunan yang dibawa wakil-wakil rakyat sebelum ini di Felda mereka.

"Di kawasan ini, 'Saluran 4 dan 5' merupakan masalah. Ini adalah pengundi lebih muda yang bekerja di bandar.

"Mereka patut menilai kemajuan yang telah kita capai selaku komuniti dan apa yang telah dilakukan arwah Adun kepada kita selama lapan bulan ini," kata lelaki berusia 48 tahun ini.

Ramai penduduk Pelangai, sama ada di kawasan Felda atau bukan, membangkitkan perkhidmatan yang telah diberikan Johari kepada mereka, dari ketika sebelum dia menjadi Adun sehingga meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pengundi tua dan muda mengagumi Johari, yang mereka panggil dengan nama "Datuk Jo", atas kesungguhannya membantu rakyat. Malah ada yang merasakan itulah sebabnya dia meraih undi yang lebih tinggi di Pelangai berbanding bekas presiden MCA Liow Tiong Lai pada PRU lalu.

"Apabila ada bencana seperti banjir atau kebakaran, anda pasti nampak dia sampai di tempat kejadian beberapa jam kemudian.

"Saya ingat ketika ada banjir melanda Pelangai, Datuk Jo yang ada di Kuala Lumpur terus pulang.

"Tak sampai dua jam, dia sudah pun mengharung sungai untuk periksa mereka yang terjejas," kata seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Lan.

Allahyarham Johari Harun

Tiga Felda di Pelangai ini turut mendapat manfaat ekoran diwakili Adnan Yaakob sebelum ini, yang menjadi menteri besar Pahang dari 1999 hingga 2018.

Sementara legasi Adnan meninggalkan bekas di kalangan generasi lebih tua, pemimpin dan aktivis BN memberitahu Malaysiakini bahawa sukar untuk meraih sokongan pengundi muda yang kini berpihak kepada PN.

"Sebab itu anda lihat kami bekerja macam lembu," kata seorang aktivis setempat BN kepada Malaysiakini.

Pengganti Adnan, Wan Rosdy Wan Ismail malah mungkin ekoran tertekan sehingga berseloroh kepada pengundi BN agar memastikan anak-anak mereka tidak pulang mengundi jika menyokong PN.

Di sebelah PN pula, kempen mereka di kawasan-kawasan desa ini lebih perlahan jika dibandingkan dengan PRK di Pulai dan Simpang Jeram pada Ogos lalu, walaupun dengan kadar sokongan yang lebih baik.

Program ceramah malam mereka kurang dihadiri pengundi walaupun menampilkan beberapa pemimpin utama.

Tidak seperti kempen di Pulai dan Simpang Jeram, PN tidak lagi menyifatkan PRK kali ini sebagai "referendum" kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaliknya menggesa pengundi menambah wakil pembangkang di DUN Pahang.

Namun, dua sasaran PN kekal sama - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan DAP. Antara tema PN adalah Zahid adalah seorang yang tidak dipercayai orang Melayu, manakala DAP bertentangan dengan agenda Melayu-Islam.

Faktor yang berpihak kepada BN setakat ini adalah jumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan, iaitu 28 peratus.

Masyarakat Orang Asli di Sungai Gapoi yang ditemui Malaysikini pula masih tegar menyokong BN dan ia juga dapat dilihat dalam data keputusan PRU tahun lalu.

Young Syefura

Berkenaan masyarakat Cina dan India, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman telah ditugaskan untuk berkempen di pekan Telemong dan Manchis.

Bagi Young Syefura, cabaran terbesar adalah memastikan mereka keluar mengundi memandangkan jumlah pengundi luar yang berdaftar di Telemong dan Manchis lebih tinggi berbanding di Felda.

"Insya-Allah kepimpinan PH terutama DAP dan saya sendiri, bertungkus-lumus untuk memastikan pengundi kita faham siapa yang mereka perlu undi dan kenapa sekarang mereka perlu undi BN kerana kami bersama-sama dalam kerajaan perpaduan.

"Saya yakin mereka faham hal ini dan pastinya kita mahu semua pengundi keluar mengundi pada 7 Oktober ini," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS